Pelan Anti Rasuah KPD, LIGS, Ko-Nelayan, Jabatan Perikanan Dilancarkan

Pelan Anti Rasuah KPD, LIGS, Ko-Nelayan, Jabatan Perikanan Dilancarkan

0
SHARE

KOTA KINABALU, SABAH – Kementerian Pertanian dan Perikanan melancarkan Pelan Pencegahan Rasuah Organisasi (OACP) bagi Jabatan Perikanan dan tiga agensi di bawah kementerian itu hari ini.

OACP ialah dokumen asas antirasuah di peringkat organisasi untuk membendung kelemahan dan isu berkaitan tadbir urus, integriti dan antirasuah dalam sesebuah organisasi.

Menteri Pertanian dan Perikanan Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey Kitingan berkata OACP adalah lanjutan kepada OACP untuk kementerian itu yang dilancarkan pada 27 Ogos tahun lepas.

“Usaha berterusan kementerian untuk membangunkan dokumen antirasuah sendiri di semua peringkat menunjukkan komitmennya untuk berkhidmat kepada rakyat dengan lebih berkesan dan lebih telus.

“Pada masa sama, OACP ini mencerminkan kementerian, serta jabatan dan agensi di bawahnya, sebagai organisasi bebas rasuah yang mempunyai nilai integriti yang tinggi,” katanya ketika berucap merasmikan Minggu Integriti kementerian di sini hari ini .

Beliau menggesa semua kakitangan kementerian, dan jabatan serta agensi di bawahnya, sentiasa menjaga integriti dalam pengurusan organisasi dan pelaksanaan program dalam projek pembangunan.

Jeffrey turut mengucapkan terima kasih kepada pejabat SPRM Sabah dan Unit Integriti dan Tadbir Urus Sabah atas sokongan dan bantuan dalam penganjuran majlis tersebut.