KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah akan melancarkan Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 pada Jumaat ini, 30 Januari, menandakan peralihan daripada fasa penstabilan kepada transformasi dengan penekanan terhadap kesinambungan dasar, pelaksanaan berkesan dan keutamaan Sabah terlebih dahulu.
Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Ceasar Mandela Malakun berkata, SMJ 2.0 bertujuan menukar kestabilan kepada hasil nyata selepas beberapa pembalikan dasar sebelum ini menyebabkan Sabah kehilangan masa dan menanggung kos yang besar.
Katanya, rakyat terpaksa menanggung kelewatan projek Lebuhraya Pan Borneo serta bayaran pampasan RM315 juta akibat penamatan tidak sah kontrak sembilan pengendali loji rawatan air, wang yang sepatutnya boleh membina lebih 3,000 unit Rumah Mesra SMJ untuk golongan miskin tegar.
Beliau menjelaskan, SMJ 1.0 memberi tumpuan kepada pemulihan keyakinan dan disiplin fiskal, manakala SMJ 2.0 akan memacu transformasi berteraskan prinsip Rumah Kita, Kita Jaga melalui empat tonggak utama iaitu Sabah First, Sabah Forward, Sabah Prosper dan Sabah United.
“Stabiliti bukan matlamat akhir, tetapi asas untuk mencapai hasil. SMJ 2.0 adalah tentang menukar kestabilan kepada momentum dan momentum kepada penyampaian,” katanya, sambil menegaskan belia berhak mendapat peluang adil, pekerjaan berkualiti dan kemahiran relevan untuk membina masa depan di Sabah.
Menurutnya, pelan itu akan mengutamakan perkhidmatan asas, kemahiran masa depan, pembangunan industri baharu serta perpaduan supaya pembangunan benar-benar dirasai rakyat dan dibentuk oleh rakyat Sabah demi masa depan jangka panjang negeri.






