TAWAU: Suspek dalam kejadian langgar lari melibatkan seorang lelaki sedang berjogging di Batu 3, Jalan Apas pada Sabtu lalu telah ditangkap polis pada jam 4.05 petang Isnin.
Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin Hussin berkata, lelaki berusia 29 tahun yang merupakan pemandu kenderaan itu ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau bagi membantu siasatan.
Sebuah Toyota Hilux berwarna gangsa mica yang dipercayai digunakan semasa kejadian turut dirampas.
“Hasil semakan mendapati cukai jalan dan insurans kenderaan itu telah tamat tempoh,” katanya dalam satu kenyataan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) dan Seksyen 52(2) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan gagal melaporkan kemalangan dalam tempoh 24 jam.






