BONGAWAN: Tiga deretan bangunan kedai dua tingkat tidak kekal di Pekan Bongawan musnah dijilat api dalam satu kejadian kebakaran awal pagi tadi.
Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sabah menerima panggilan kecemasan mengenai insiden tersebut pada jam 5.38 pagi.
Pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kimanis tiba di lokasi kira-kira sembilan minit kemudian, sejauh 10 kilometer dari balai.
Menurut Komander Operasi Nazir Chek Lah, kebakaran telah memusnahkan keseluruhan struktur tiga deretan bangunan tersebut.
“Bangunan pertama, 8 pintu kedai berkeluasan 30×80 kaki setiap satu; bangunan kedua, 4 pintu kedai berkeluasan 30×60 kaki setiap satu; Dan bangunan ketiga, 4 pintu kedai berkeluasan 30×60 kaki setiap satu
“Turut terlibat dalam kebakaran ialah beberapa buah kenderaan termasuk sebuah kereta yang hangus sepenuhnya,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Operasi pemadaman dilakukan oleh 24 anggota bomba dari tiga balai termasuk BBP Kimanis, BBP Papar dan BBP Beaufort dengan bantuan lima buah jentera termasuk LFRT, FRT, EMRS serta kenderaan pacuan empat roda (Vigo).
Pemadaman dilakukan menggunakan tiga aliran sepanjang 600 kaki dengan enam pancutan air yang disalurkan dari jentera dan pili bomba berhampiran.
Kebakaran berjaya dikawal sepenuhnya pada jam 7.30 pagi dan tiada mangsa dilaporkan tercedera dalam kejadian tersebut.
Agensi lain yang turut membantu di lokasi ialah Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan kehadiran empat anggota.
Punca kejadian dan jumlah kerugian masih dalam siasatan. Sebarang perkembangan lanjut akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.






