KUALA LUMPUR: Kerajaan MADANI terus menzahirkan komitmen terhadap hak dan tuntutan Sabah apabila kadar Pemberian Khas Persekutuan kepada negeri itu dinaikkan secara berperingkat daripada RM53.4 juta pada tahun 2019 kepada RM600 juta pada tahun 2025.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, peningkatan besar ini hasil kajian semula yang dilaksanakan dan diwartakan pada tahun 2022, 2023 dan 2025, selaras dengan peruntukan Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan.
Kajian tersebut mengambil kira kedudukan kewangan Kerajaan Persekutuan serta keperluan perkhidmatan di Sabah.
“Pada tahun 2022, kadar pemberian khas telah dinaikkan kepada RM125.6 juta hasil persetujuan bersama antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sabah. Di bawah pentadbiran Kerajaan MADANI, kadar tersebut digandakan kepada RM300 juta pada tahun 2023 dan sekali lagi dinaikkan kepada RM600 juta pada tahun 20,” katanya di sini, hari ini.
Anwar turut memaklumkan bahawa pembayaran penuh sebanyak RM600 juta itu telah disalurkan kepada Kerajaan Sabah pada 10 September lalu.
Beliau menegaskan bahawa kadar semasa ini bersifat interim sementara kedua-dua kerajaan sedang merangka formula baharu bagi menentukan kaedah pengiraan Pemberian Khas yang lebih adil dan mampan pada masa akan datang.