
KOTA KINABALU, SABAH – Dewan Perniagaan dan Perusahaan Kadayan Malaysia (DPPKM) menyifatkan cadangan pembinaan jambatan yang menghubungkan Labuan dan Sabah akan memberi banyak manfaat terhadap golongan usahawan selain berpotensi merangsang pertumbuhan ekonomi di pulau itu.
Timbalan Yang Dipertua DPPKM, Mohd Faizal Malik berkata cadangan pembinaan jambatan terbabit umpama serampang dua mata terutamanya kepada peniaga Industri Kecil dan Sederhana (IKS) selain pemain industri besar-besaran.
“Pihak kita mengakui secara umumnya, cadangan pembinaan jambatan ini akan membawa impak positif secara menyeluruh terhadap ekonomi di Labuan namun kita juga perlu melihat secara teliti manfaat yang bakal diperolehi peniaga IKS dan golongan marhaen.
“Antara manfaat yang bakal diperolehi adalah sudah tentunya penjimatan dapat dilakukan golongan peniaga IKS dari segi kos logistik. Golongan peniaga dapat membuat pilihan menggunakan perkhidmatan penghantaran barang secara terus dari pembekal (dari Sabah) berbanding menggunakan perkhidmatan kurier atau menerusi perkhidmatan feri.
“Malah, penyedia perkhidmatan logistik juga berpotensi akan menjadi lebih banyak dan ini juga boleh menjadi satu manfaat besar sekiranya perkhidmatan logistik di antara Labuan dan Sabah menjadi salah satu antara perkhidmatan yang utama.
“Apatah lagi, perkhidmatan logistik dengan konsep seperti ‘e-hailing’ yang boleh digunakan menerusi aplikasi telefon pintar telah mula wujud, perlahan-lahan ia mula menjadi menjadi perkhidmatan logistik di era baru,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.
Selain itu, Mohd Faizal juga melihat cadangan pembinaan jambatan itu juga boleh menjadi peluang segala perkhidmatan dengan konsep ‘e-hailing’ dapat diperluaskan lagi membabitkan Labuan dan Sabah disamping mencipta peluang pekerjaan.
Katanya, perkhidmatan ‘e-hailing’ pada zaman kini tidak terhad kepada menghantar penumpang seperti Grab sahaja malah juga telah menjadi sebahagian daripada komponen penting sesebuah perniagaan.
“Jika kita melihat secara meluas, perkhidmatan ‘e-hailing’ ini juga menghantar barangan lain selain makanan untuk tujuan urusan perniagaan yang sudah tentu memudahkan golongan peniaga juga.
“Dengan pembinaan jambatan, saya percaya lingkungan kawasan untuk perkhidmatan ‘e-hailing’ ini akan menjadi lebih luas dan seterusnya mampu menjadikan aktiviti perniagaan tempatan Labuan-Sabah menjadi semakin rancak,” katanya.
Disamping itu, beliau turut berpendapat pembinaan jambatan juga bakal menyediakan platform perniagaan lebih luas dan mudah kepada golongan peniaga IKS Labuan-Sabah khususnya jika membabitkan aktiviti jualan di festival atau karnival besar-besaran membabitkan usahawan.
“Saya melihat jika cadangan pembinaan jambatan direalisasikan, ia berpotensi dimana para penganjur terutamanya jabatan, agensi atau kementerian tertentu dapat memperbanyakkan lagi acara sedemikian untuk usahawan.
“Lebih banyak penyertaan golongan peniaga dalam acara sedemikian, kegiatan ekonomi dan perniagaan semestinya menjadi rancak. Ini sekaligus membantu peniaga IKS untuk mencari platform tambahan menjana pendapatan selain berniaga secara harian.
“Malah saya juga berpendapat kerajaan negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan (menerusi jabatan dan agensi masing-masing yang bekerjasama erat dengan golongan usahawan) juga boleh menjalin kerjasama untuk memperbanyakkan lagi platform untuk peniaga meningkatkan hasil jualan mereka.
“Misalnya, mungkin boleh diusulkan satu acara bulanan dimana peniaga Labuan dan Sabah boleh membuka gerai jualan di satu tempat khusus yang boleh dikunjungi ramai orang,” katanya.





