Pembukaan ROVR di KUALA Abai Langkah Tepat Rancakkan Aktiviti Ekonomi Tempatan

Pembukaan ROVR di KUALA Abai Langkah Tepat Rancakkan Aktiviti Ekonomi Tempatan

0
SHARE

KOTA BELUD: Pembukaan Perkhidmatan Pengisian Bahan Api Mudah Alih PETRONAS (ROVR) di Kuala Abai yang akan dikendalikan oleh Persatuan Nelayan Kawasan Kota Belud merupakan satu langkah tepat ke arah merancakkan aktiviti ekonomi tempatan.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali berkata, pembukaan itu, antara sektor ekonomi setempat yang bakal menerima manfaat daripada kemudahan ROVR di sini adalah perikanan dan pertanian di kampung sekitar seperti Kampung Kuala Abai, Kampung Buah Pandai, Kampung Tanjung Batu dan Kampung Kulambai.

“Dengan kehadiran ROVR yang membekalkan bahan api terus ke kawasan nelayan, mereka tidak lagi perlu melakukan perjalanan jauh ke stesen minyak, sekali gus mengurangkan kos operasi harian.

“Selain itu, kehadiran ROVR turut menyokong kelangsungan ekonomi komuniti nelayan setempat dengan memastikan bekalan bahan api sentiasa mencukupi dan mudah diperoleh, terutamanya pada musim tengkujuh atau ketika permintaan tinggi.

“KPDN akan terus memastikan bekalan petrol RON95 pada harga runcit terkawal sampai ke tangan rakyat, tanpa mengira lokasi geografi.

“Usaha ini bukan sahaja menjamin keadilan tenaga (energy equity), tetapi juga mengurangkan beban kos sara hidup penduduk luar bandar serta menyokong pertumbuhan sosioekonomi setempat,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, semalam.

Terdahulu, beliau bersama wakil PETRONAS Dagangan Berhad hadir bagi melawat tapak Perkhidmatan Pengisian Bahan Api Mudah Alih PETRONAS (ROVR) yang dijangkakan akan mula beroperasi di Kuala Abai, Kota Belud pada 21 Jun 2025 ini.

Dalam pada itu katanya, KPDN akan terus komited dalam memastikan akses kepada bekalan bahan api yang menyeluruh kepada seluruh rakyat Malaysia, termasuk komuniti luar bandar dan pedalaman.

“Buat masa ini, ROVR beroperasi di Sabah dan Sarawak. Sebanyak 6 di Sarawak dan 1 di Sabah, iaitu di Beaufort. Manakala, pembukaan ROVR di Kuala Abai ini menjadikan jumlah keseluruhan 8 ROVR bagi kawasan luar bandar.

“Perkhidmatan ROVR bukan sekadar satu penyelesaian logistik, malah satu keperluan kepada penduduk di kawasan luar bandar atau pedalaman untuk mendapatkan bekalan petrol RON95.

“Melalui kewujudan ROVR ini, penduduk dapat menikmati kemudahan pengisian bahan api yang lebih dekat, mudah dan selamat.

“Saya ingin merakamkan penghargaan kepada PETRONAS Dagangan Berhad atas kerjasama strategik yang berterusan bersama KPDN dalam memperluaskan liputan ROVR ke kawasan yang memerlukan,” katanya lagi.

Sehingga kini, ROVR telah mengagihkan lebih 250 juta liter bahan api sejak ia dilancarkan, dan keberkesanannya telah terbukti dalam menyokong mobiliti harian serta semasa situasi kecemasan negara seperti pandemik COVID-19 dan bencana banjir.