KOTA KINABALU, SABAH – Rakyat Sabah tidak seharusnya merasa gusar kononnya Sabah sekali lagi akan mengadakan Plihan Raya Negeri (PRN) selepas Dato’ Sri Bung Moktar mengeluarkan kenyataan bahawa UMNO bersedia menentang BERSATU pada PRU ke-15 nanti
Bung dalam satu kenyataan hari ini (3 Okt) berkata, UMNO Sabah bersedia untuk berhadapan dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke -15, di negeri ini.
“ia merupakan keputusan parti di mana UMNO akan mempertahankan kerusi Parlimen yang dimenangi parti itu pada PRU yang lalu…
“Di Sabah kita ada Gabungan Rakyat Sabah (GRS), tetapi walau bagaimanapun apabila parti membuat keputusan untuk kita bertanding maka UMNO tiada pilihan terpaksa akur untuk menentang mereka,” kata Bung.

Dalam pada itu ketika diminta mengulas kenyataan terkini Bung itu, penganalisis politik bebas Syihab Al-Hadi dalam satu kenyataan berkata, rakyat Sabah tidak seharusnya merasa bimbang dan cemas kononnya Sabah sekali lagi mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN).
Harus diingat bahawa PRU ke-15 sepatutnya hanya akan diadakan pada bulan Mei 2023 memandangkan PRU ke-14 yang lalu dibuat pada Mei 2018.
“Melihat kepada perjanjian Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik yang dimeterai di antara Kerajaan Persekutuan dan Pakatan Harapan (PH) pada 13 Sept 2021 yang lalu juga adalah satu petunjuk jelas PRU ke-15 berkemungkinan hanya akan diadakan pada Mei 2023…

“Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah semasa pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen ke-14 pada 13 Sept 2021 turut menitahkan agar pertelingkahan dikalangan ahli politik dihentikan supaya Malaysia kekal sebagai negara aman, harmoni dan bersatu.

“Justeru dalam tempoh menunggu PRU ke-15 sehingga 2023 keadaan panas membabitkan Parti UMNO dan BERSATU berkemugkinan boleh diredakan suhunya melalui perancangan tertentu oleh kedua belah pihak,” jelas Syihab.
Syihab berkata lagi; “Saya fikir kesemua pemimpin politik bersetuju dan dapat melihat di mana Malaysia ketika ini berada dalam keadaan yang tidak menentu dan rakyat cukup terkesan dengan pandemik COVID-19”.
“Peningkatan jumlah kes bunuh diri, perceraian dan penderaan akibat pandemik ini adalah petunjuk jelas bahawa masalah rakyat perlu ditangani dengan kadar yang segera terlebih dahulu.
“Syarikat besar dan kecil, peniaga besar dan kecil turut terjejas, malahan ada yang terpaksa menutup perniagaan mereka.
“Jumlah pengangguran dan miskin tegar di kalangan rakyat Malaysia juga mengalami peningkatan secara mendadak.
“Walaupun pemulihan ekonomi negara dijangka pada tahun depan (2022), namun penganalisis ekonomi berpendapat pemulihan ini mungkin akan hanya berlaku secara ketara pada tahun 2023.
“Dan, walaupun negara ketika ini sedang dalam proses peralihan daripada pandemik kepada endemik, namun kita harus menerima hakikat ianya bukanlah sesuatu yang mudah seperti yang kita jangkakan.
“Justeru, fokus wakil rakyat dan kerajaan GRS ketika ini dilihat berada di landasan yang tepat selepas melancarkan plan Sabah Maju Jaya (SMJ).”

“Saya juga berkeyakinan Kerajaan GRS akan semakin utuh di Sabah, malahan pertembungan di antara UMNO dan BERSATU termasuk rakan Perikatan Nasional (PN) mungkin tidak akan berlaku di Sabah pada PRU ke-15 ini,” Syihab berkata lagi