
KOTA KINABALU, SABAH – Malaysia International Humanitarian Organization (MHO) menggesa Kerajaan Negeri untuk menubuhkan tribunal khas bagi menyelesaikan lambakan isu tanah yang belum selesai.
Penyelarasnya, Kapten (B) Jerry Jaimeh, menegaskan bahawa penduduk dari kawasan pedalaman sering menjadi mangsa birokrasi.
“Mereka tidak mempunyai kedudukan kewangan, pemahaman mendalam tentang isu mahupun masa untuk membuat perjalanan jauh yang kerap.
“Tribunal ini boleh terdiri daripada agensi kerajaan yang berkaitan. Amat kasihan, sebagai contoh sekeluarga dari Kampung Korolok, Tenom mengambil empat jam hanya untuk sampai ke pekan.
“Apabila sampai ke pekan, Penolong Pemungut Hasil Tanah (PPHT) akan berkata untuk ke Pejabat Jabatan Tanah dan Ukur (JTU) di bandaraya.
“Perjalanan itu sudah tentunya mengambil kos yang besar khususnya bagi kalangan orang kampung. Mahupun begitu, kebanyakkan mereka disuruh pulang untuk berurusan dengan PPHT daerah masing-masing.
“Ianya fakta bahawa lebih ramai yang menerima layanan seperti ini. Meskipun kes mereka berlarutan lebih 10 tahun, kerajaan hari ini seharusnya tetap bertanggungjawab,” katanya.
Pada Selasa, pertubuhan bukan kerajaan itu telah menyerahkan memorandum kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk memohon siasatan skim peneroka bagi penduduk kampung di Kecik Madai Berturung, Kunak dan Kampung Minusoh di Tongod.
Mereka juga akan menghantar surat kepada Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin pada minggu hadapan agar pelbagai kes di Keningau, Nabawan, Semporna, Kunak, Ranau, Kinabatangan, Tongod dan Tenom mendapat perhatian sewajarnya.
“Kami tidak mempunyai kuasa untuk memaksa kerajaan tetapi kami membawa bersama kami suara rakyat.
“MHO tidak mencari masalah tetapi tegas dalam mempertahankan hak-hak ahli. Kami adil dan bertindak mengikut undang-undang,” katanya.
Beliau mendakwa MHO Sabah telah mengendalikan lebih 50 kes seumpama itu serta memberikan khidmat nasihat undang-undang kepada 1,500 individu dari seluruh Sabah.