KINABATANGAN, SABAH – Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin mengingatkan pemimpin masyarakat di negeri ini supaya kerap turun padang untuk menerangkan program dan dasar yang dilaksanakan kerajaan.
Beliau berkata ketika negara berhadapan dengan pandemik COVID-19, rakyat khususnya di kawasan luar bandar berhadapan dengan pelbagai masalah terutamanya dari aspek kebajikan mereka.
Menurut Bung yang juga wakil rakyat kawasan Lamag, pemimpin Masyarakat terutamanya Ketua Kampung, Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK), pemaju mukim dan lain lain perlu cakna kepada isu semasa.
Mereka juga bertanggungjawab segera menyalurkan maklumat kepada pemimpin atas agar tindakan lanjut dapat diambil bagi membantu rakyat yang terkesan.
Selain itu, tambah Bung, pendekatan itu bukan sahaja menjelaskan kesungguhan kerajaan dalam membela nasib rakyat, tetapi juga boleh menangkis tuduhan yang dilemparkan pembangkang terhadap kerajaan.
“Pembangkang sekarang keluar masuk kampung beritahu rakyat akar umbi agar kepimpinan kerajaan harus diubah, walhal kita sekarang hidup dalam keadaan baik dan harmoni…
“Kita kena jaga negeri kita dengan baik. Jangan kita tersalah dengar cakap (pembangkang) sehingga kita akhirnya sedar keadaan sekarang lebih baik (berbanding di bawah kepimpinan pembangkang),” katanya.
Beliau berkata demikian selepas melawat Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri dan Parlimen yang baru di pekan baru Bukit Garam sini dan seterusnya mengadakan perjumpaan bersama pemimpin-pemimpin masyarakat di kawasan tersebut baru baru ini.

Bung berkata pemimpin masyarakat juga perlu bijak menyampaikan program dan dasar kerajaan agar rakyat tidak ketinggalan dalam arus pembangunan negeri.
Katanya kerajaan sentiasa berusaha menjaga amanah rakyat dengan menyediakan pelbagai peluang agar kehidupan rakyat lebih sejahtera.
“Tugas dan tanggunjawab kita sebagai pemimpin Masyarakat akar umbi bukan sekadar duduk di pejabat tetapi perlu turun ke lapangan bagi mendapatkan maklumat yang tepat tentang apa juga isu rakyat baik dari segi kebajikan dan pembangunan,” katanya.
Beliau turut berterima kasih kepada pemimpin masyarakat dan penjawat awam negeri serta Persekutuan khususnya di kawasan itu kerana memudahkan kerjanya sebagai wakil rakyat di kawasan tersebut.
“Kita bekerja sebagai satu pasukan untuk membangunan kawasan ini dalam menyediakan prasarana dan meningkatkan ekonomi rakyat,” jelas Bung.