Pendaftaran Bersyarat Vaksin COVID-19 Pfizer Diluluskan Untuk Kegunaan Malaysia

Pendaftaran Bersyarat Vaksin COVID-19 Pfizer Diluluskan Untuk Kegunaan Malaysia

0
SHARE

KUALA LUMPUR – Pendaftaran secara bersyarat bagi vaksin COVID-19 keluaran syarikat Pfizer, “Comirnaty Concentrate for Dispersion”, telah diluluskan untuk kegunaan di Malaysia, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Memetik laporan Bernama, Dr Noor Hisham menerusi hantaran di Twitter dan Facebook rasminya berkata pendaftaran vaksin itu  diluluskan Mesyuarat Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) kali ke-352 yang bersidang hari ini.

“Pun begitu syarikat masih perlu mengemukakan beberapa data penting dalam tempoh masa yang ditetapkan sebelum ianya dibenarkan untuk digunakan,” katanya.

Terdahulu, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin menerusi Twitter rasmi beliau  menzahirkan ucapan tahniah kepada Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) atas keputusan bagi pendaftaran bersyarat untuk vaksin COVID-19 keluaran Pfizer itu.

“Saya baru dimaklumkan oleh @DGHisham bahawa NPRA telah meluluskan pendaftaran bersyarat untuk vaksin Pfizer. Kami masih menunggu untuk beberapa maklumat tambahan daripada Pfizer. Tahniah  Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) di atas pendaftaran yang cepat,” katanya.

Sehingga ini Malaysia telah menandatangani perjanjian dengan Pfizer dan BioNTech untuk memperoleh 12.8 juta dos vaksin. Negara juga bakal menerima 6.4 juta lagi dos vaksin daripada AstraZeneca selain daripada beberapa lagi pembekal.