KINABATANGAN: Pengarah animasi siri popular Ejen Ali, Andi Abdul Ghani, 42, ditemukan maut selepas terjun ke Sungai Kinabatangan berikutan kemalangan jalan raya di Kampung Batu Puteh, di sini pada Selasa.
Ketua Polis Daerah Kinabatangan, Superintenden D. Ravi berkata, mangsa yang berasal dari Tawau sedang memandu kenderaan jenis Perodua Ativa bersama isterinya dari Tawau menuju ke Kota Kinabalu.
“Siasatan awal mendapati kereta yang dipandu isteri mangsa hilang kawalan lalu terbabas ketika melalui jambatan kampung.
“Mangsa kemudian bertindak keluar dari kenderaan sebelum terjun ke dalam sungai,” katanya dalam kenyataan.
Menurutnya, Balai Polis Kinabatangan menerima laporan mengenai kejadian itu sekitar jam 4.40 petang sebelum operasi mencari dan menyelamat dilancarkan bersama agensi lain.
“Mayat mangsa ditemukan pada jam 11.15 pagi Rabu, kira-kira lima meter dari lokasi dia dilaporkan hilang,” katanya.
Tragedi ini berlaku hanya beberapa hari selepas Andi dan isterinya melangsungkan perkahwinan pada 16 September lalu.
Syarikat produksi Wau Animation mengesahkan pemergian Andi menerusi hantaran di laman Facebook rasmi mereka.
“Andi merupakan antara tenaga utama dalam pasukan Braintrust yang bertanggungjawab menjayakan Ejen Ali sebagai francais animasi kebanggaan Malaysia.
“Pemergiannya satu kehilangan besar buat industri animasi negara,” kata kenyataan itu.
Wau Animation turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa dan mendoakan semoga rohnya dicucuri rahmat serta ditempatkan dalam kalangan orang-orang beriman.






