PUTATAN: Pengundi berdaftar di Sabah, khususnya di Putatan dan Tanjung Keramat, diseru untuk keluar mengundi pada 29 November ini.
Ahli Parlimen Putatan, Datuk Ir Shahelmey Yahya berkata, selain memenuhi tanggungjawab demokrasi, pengundi juga perlu memilih kerajaan yang mempunyai rekod pentadbiran stabil, sejahtera dan berprestasi baik.
Katanya, penilaian yang tepat mampu menjamin kelangsungan kerajaan yang mengutamakan rakyat, memacu ekonomi dan meningkatkan taraf hidup.
“Pesan saya kepada pengundi di Putatan dan Tanjung Keramat, tunaikan kewajiban anda untuk mengundi. Pilihlah wakil rakyat yang mempunyai rekod cemerlang serta menjamin kestabilan politik di Sabah.
“Kita mahu kerajaan yang stabil supaya kemakmuran dan kesejahteraan negeri dapat terus dipacu,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Talenttime Evergreen Songs Komuniti Madani Tg Keramat Putatan di Dataran Tomoi pada Sabtu.
Mengenai program itu, Shahelmey berkata ia menjadi platform mencungkil bakat seni komuniti selain mengeratkan hubungan masyarakat setempat melalui pendekatan holistik bersama JKDB, JKKK dan Pejabat Parlimen P173 Putatan.






