Pengurusan Sisa Dan Infrastruktur Hijau Kunci Masa Depan Sabah – Jannie

Pengurusan Sisa Dan Infrastruktur Hijau Kunci Masa Depan Sabah – Jannie

0
SHARE

KOTA KINABALU: Sabah berpotensi besar menyelaraskan pembangunan dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) PBB, khususnya dalam kelestarian bandar, pengurusan sisa dan inisiatif hijau.

Dengan urbanisasi pesat dan cabaran alam sekitar, Sabah perlu mengamalkan strategi lestari bagi memastikan ketahanan dan pertumbuhan ekonomi jangka Panjang.

Ahli Dewan Undangan Negeri Kapayan, Jannie Lasimbang berkata demikian dalam Seminar dua hari di Kota Kinabalu baru-baru ini yang berkongsi pengalaman daripada lawatan ke Copenhagen, Denmark pada Ogos 2024 oleh wakil kerajaan tempatan serta APPGM-SDG. Mereka telah mempelajari inisiatif SDG yang berjaya di sana.

“Seminar ini turut berkongsi inisiatif peserta dalam menerapkan SDG di Sabah supaya kita dapat membentuk laluan pembangunan lestari secara beransur-ansur tetapi pasti,” kata Jannie.

Jannie menekankan kepentingan pengurusan sisa organik, termasuk pelaksanaan kemudahan pengkomposan dan program komuniti. Sebanyak dua tan sisa bercampur dihantar ke Tapak Pelupusan Kayu Madang setiap hari dan akan diproses oleh mesin pengkomposan.

Beliau juga menyarankan insentif bagi isi rumah dan perniagaan untuk mengurangkan pembaziran makanan serta menukar bahan organik kepada baja, selain polisi pengasingan sisa untuk meningkatkan kecekapan kitar semula.

“Dalam perancangan bandar, Sabah perlu mengamalkan pembangunan bercampur, sistem pengangkutan awam yang efisien dan ruang hijau. Infrastruktur lestari seperti lampu jalan solar dan sistem tadahan air hujan seharusnya menjadi standard dalam pembangunan baharu.

“Dalam tempoh dua tahun, pejabat saya telah memasang 270 lampu jalan solar dengan kos RM850,000 serta melaksanakan sistem tadahan air hujan,” tambahnya.

Jannie juga menekankan kepentingan bandar yang boleh didiami, dengan memberi keutamaan kepada perumahan mampu milik, ruang hijau dan sistem pengangkutan awam yang baik.

Hadir dalam seminar tersebut ialah Annette Larson dari Parti Demokratik Sosial Denmark, ADUN Pulau Tikus Joshua Woo, Anthony Tan dari APPGM-SDG serta wakil dari majlis perbandaran, sektor awam dan NGO.

Beliau berharap Sabah merancang lebih banyak laluan berbumbung untuk pejalan kaki serta menerapkan teknologi bandar pintar bagi meningkatkan kelestarian bandar. Kerajaan juga disarankan memperkenalkan insentif cukai bagi perniagaan yang mengamalkan tenaga boleh diperbaharui dan program pemulihan karbon.

Jannie menutup seminar dengan menegaskan bahawa peserta komited untuk memperkukuh inisiatif SDG serta memastikan pihak berkuasa tempatan, NGO dan sektor swasta bekerjasama mencari penyelesaian kepada setiap cabaran yang dihadapi.