Pensyarah Politeknik Kuching Cipta Papan Permainan Pendidikan Israj Mikraj

Pensyarah Politeknik Kuching Cipta Papan Permainan Pendidikan Israj Mikraj

0
SHARE

KUCHING, SARAWAK Keprihatinan menyediakan alat bahan bantu mengajar (BBM) untuk meningkatkan keberkesanan pengajaran dan pembelajaran mendorong tiga orang pensyarah Politeknik Kuching, menghasilkan Papan Permainan Pendidikan Israk Mikraj (MIKRAJ).

Gabungan idea Mohamad Faizal Ahmat, Mohamad Shahrin L Bari dan Ts. Wida Yanti Mohammad Zen Umar mencetus inovasi penciptaan permainan (edutainment) yang menceritakan peristiwa Israk dan Mikraj melalui pendekatan yang tersendiri itu.

Lebih menarik, MIKRAJ boleh diakses menggunakan telefon pintar dalam bentuk aplikasi elektronik malah, penggabungan permainan dalam bentuk interaktif itu juga mampu meningkatkan kefahaman pemain.

Pengarah Politeknik Kuching, Hikmatullah Hajid Ahmad Khan, berkata, papan permainan itu mempunyai 100 keping kad yang terdiri daripada Kad Misi, Kad Ibrah dan Kad Solat.

Katanya, Kad Misi menceritakan perjalanan peristiwa Israk Mikraj, Kad Ibrah, Kad Ibrah merupakan penghayatan dan pengajaran sepanjang peristiwa israk mikraj, manakala Kad Solat adalah pengetahuan untuk meningkatkan kesempurnaan solat.

“MIKRAJ sangat sesuai dijadikan bahan bantu mengajar di dalam kelas bagi kursus Pendidikan Islam, di samping penghasilan inovasi berbentuk papan permainan ini sesuai dimainkan oleh setiap lapisan masyarakat sama ada kanak-kanak ataupun dewasa…

“Ia juga boleh dijadikan permainan seisi keluarga,” katanya dalam stau kenyataan.

Sementara Mohamad Faizal selaku ketua projek inovasi ini berkata, permainan MIKRAJ adalah yang pertama seumpamanya di negara ini.

Katanya, idea terhasil daripada forum dan kuliah peristiwa israk mikraj yang biasanya disampaikan melalui ceramah.

“Mempelbagaikan bentuk penyampaian perlu kepada satu pendekatan yang lebih menarik dan menghiburkan, sehinggalah terhasilnya papan permainan ini.

“Untuk maklumat lanjut, boleh melayari laman Facebook ‘Mikraj Eduboard.’

“Pada masa yang sama, kajian keberkesanan penggunaan MIKRAJ sebagai bahan bantu mengajar kursus Pengajian Islam di Politeknik Kuching Sarawak telah dijalankan dan membuktikan bahawa MIKRAJ memberi impak positif dalam mencapai objektif pengajaran dan pembelajaran yang disasarkan,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, kertas kajian telah dibentangkan di Persidangan Warisan Islam Antarabangsa Ke-5 anjuran Universiti Teknologi Mara (UiTM) cawangan Melaka 16 Mac lalu.