Pentagon Bimbang Latihan Ketenteraan China Di Sekitar Kawasan Pertikaian Laut China Selatan

Pentagon Bimbang Latihan Ketenteraan China Di Sekitar Kawasan Pertikaian Laut China Selatan

0
SHARE
Pentagon...

WASHINGTON – Pentagon melahirkan rasa ‘bimbang’ berhubung latihan ketenteraan China di sekitar kawasan pertikaian Laut China Selatan, semalam dan berkata, tindakan itu akan menjejaskan kestabilan serantau.

“Jabatan Pertahanan bimbang dengan keputusan Republik Rakyat China untuk melaksanakan latihan ketenteraan di sekitar Kepulauan Paracel di Laut China Selatan pada 1 hingga 5 Julai,” kata Pentagon menerusi satu kenyataan.

Aktiviti berkenaan jelas jabatan berkenaan, akan menggugat kestabilan di kawasan yang menjadi perebutan antara China, Vietnam dan Taiwan itu.

Pentagon yang dipetik laporan AFP berkata bahawa latihan seumpama itu juga mencabuli komitmen Beijing di bawah Deklarasi 2020 Pihak Berkaitan di Laut China Selatan, bertujuan mengelakkan sebarang aktiviti yang boleh mengeruhkan keadaan atau menggugat keamanan kawasan sekitar.

Deklarasi terbabit, ditandatangani oleh negara anggota ASEAN, menuntut semua pihak mengelakkan sebarang aktiviti yang boleh menjejaskan kestabilan dan keamanan serantau.

Pemandangan dari udara Pulau Qilianyu di Kepulauan Paracel yang menjadi pertikaian beberapa negara di Laut China Selatan. Pentagon dakwa China jalankan latihan ketenteraan di sekitar kepulauan itu…(Sumber Foto: AFP)

Latihan berkenaan adalah yang terkini dilakukan China untuk mengukuhkan dakwaan maritim tidak sah ke atas negara Asia Tenggara di Laut China Selatan.

Susulan kejadian, Pentagon menggesa semua untuk tidak melaksanakan sebarang aktiviti ketenteraan yang boleh mengeruhkan lagi keadaan di rantau itu.

“Kami akan terus memantau rapi aktiviti ketenteraan China,” katanya.

Latihan ketenteraan itu mengeruhkan lagi hubungan AS – China yang sedia tegang, apabila Washington menuduh Beijing menyembunyikan penyebaran awal COVID-19 di Wuhan.