KOTA KINABALU, SABAH – Susulan pembukaan dan pengoperasian semula Arena Memanah Tradisional Universiti Malaysia Sabah (UMS), Pantai UMS pada 19 Mac lalu yang dikendalikan Rawja Archery, satu perlawanan persahabatan memanah tradisional telah diadakan di antara Kelab Memanah Kesatria Kota Kinabalu (KESATRIA) dan Kelab Memanah Tradisional Darau Sedi Belud (SEBELTRAC), semalam.
Acara perlawanan persahabatan terbabit yang telah dihadiri lebih 50 pemanah tradisional itu menumpukan dua kategori panahan iaitu kategori memanah dinamik dan memanah pelbagai posisi serta kategori memanah statik pada jarak sejauh 60 meter dalam dua pusingan dengan menggunakan lima batang anak panah.
Presiden KESATRIA, Md Suhaimi Sapiee dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan hari ini berkata keunikan acara yang diadakan semalam adalah kesemua peserta yang hadir wajib berbusana bagi menampilkan nilai tradisi pakaian tradisional di dalam menjayakan aktiviti panahan tradisional yang diadakan.

“Inilah keunikan pada sukan memanah tradisional, dalam pada pemanah perlu memahirkan diri dalam panahan, pemanah juga menampilkan nilai tradisi pada pemakaian tanpa mengabaikan segala aspek keselamatan semasa memanah.
“Sukan ini juga dilihat mampu diiktiraf sebagai salah satu produk pelancongan di UMS khasnya dan di Negeri Sabah amnya…
“Di dalam perlawanan persahabatan ini, acara yang dipertandingkan adalah memanah statik 60 meter, memanah dinamik dan memanah pelbagai posisi.
“Peserta dipecahkan kepada tujuh kumpulan yang terdiri dari pemanah KESATRIA dan pemanah SEBELTRAC. Setiap kumpulan harus memanah di setiap titik semak (check point) yang telah disediakan. Kumpulan yang paling banyak mengumpul markah di setiap titik semak dikira sebagai pemenang.” katanya.

Sementara itu, Presiden SEBELTRAC, Safri Tim berkata perlawanan persahabatan terbabit menggambarkan nilai ukhuwah yang baik dalam kalangan pemanah tradisional di Sabah.
“Selain itu, ia menjadi lambang keakraban hubungan di antara KESATRIA dan SEBELTRAC untuk bersama bergandingan membangunkan sukan sunnah memanah di Daerah Kota Kinabalu selepas ini.
“Usaha akan ditumpukan pada pemerkasaan Persatuan Memanah Tradisional Daerah Kota Kinabalu yang akan bergabung bersama minima dua persatuan daerah lain bagi membentuk Persatuan Memanah Tradisional Negeri Sabah.
“Inilah asas pada usaha memartabatkan sukan memanah tradisional di Negeri Sabah sepertimana yang ditekankan oleh Presiden KESATRIA sejak tahun 2017 lagi,” katanya.
Demi memeriahkan perlawanan persahabatan terbabit yang meletakkan syarat peserta untuk mengenakan busana lengkap, salah seorang pemanah tradisional, Muhammad Qushyairin Antakin Abdullah, 43, teruja mengenakan busana etnik Dusun Lotud kepunyaannya.
“Saya amat teruja dan seronok memanah dengan busana tradisional etnik Dusun Lotud ini, yang tidak pernah saya terfikir sebelum saya menjadi seorang pemanah tradisional. Saya berharap tradisi berbusana ketika memanah ini terus kekal selamanya.” katanya ketika ditemui.
Sementara itu, bagi Halim Burut, 58, yang mengenakan busana Bajau, yang juga antara pemanah tradisional Kesatria yang hadir, menyifatkan perlawanan persahabatan terbabit merupakan satu aktiviti sihat disamping memberi peluang menjalin hubungan silaturahim sesama pemanah tradisional.
“Hubungan sesama pemanah begitu mesra tanpa mengira latarbelakang, pangkat dan umur ketika memanah. Itu yang membuatkan saya berasa gembira, tekanan menjadi hilang serta terasa sihat sentiasa. Sesungguhnya dalam memanah itu ada kekuatan.” katanya.





