Permohonan Pendaftaran GRS Sudah Dihantar Dua Minggu Lalu

Permohonan Pendaftaran GRS Sudah Dihantar Dua Minggu Lalu

0
SHARE
Datuk Seri Panglima Masidi Manjun...

KOTA KINABALU, SABAH – Permohonan pendaftaran Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sebagai gabungan politik rasmi telah dihantar kepada Pendaftar Pertubuhan Negara (ROS), kata Datuk Seri Masidi Manjun.

Timbalan Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sabah itu berkata permohonan itu dihantar kira-kira dua minggu lalu.

“ROS masih meminta butiran lanjut dan maklumat serta dokumen,” katanya kepada wartawan hari ini.

Beliau turut berharap perkara itu dapat dimuktamadkan segera supaya GRS dapat didaftarkan secara rasmi secepat mungkin…

Bagaimanapun, katanya, tidak ada gunanya mengumumkan setiap butiran proses pendaftaran kerana ianya tidak menjadi isu sehinggalah GRS akhirnya didaftarkan.

“Lebih baik GRS dan ahlinya terus bekerja dan menjalankan tugas dan biarkan keputusan bercakap untuk diri mereka sendiri,” kata Masidi.

GRS dianggotai oleh Barisan Nasional Sabah (Umno Sabah, Parti Bersatu Rakyat Sabah PBRS, MCA dan MIC), Perikatan Sabah (Bersatu Sabah, Sabah STAR, Parti Progresif Sabah SAPP, PAS Sabah, dan Gerakan) dan Parti Bersatu Sabah (PBS).

Apabila ditanya mengenai hasrat bekas naib presiden Warisan, Datuk Peter Anthony, untuk menyertai GRS melalui parti baharunya, Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM), Masidi berkata semua orang boleh menubuhkan parti baharu dalam negara demokrasi ini tetapi tidak menjelaskan lebih lanjut mengenai perkara itu.

Selasa lalu, Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor dilaporkan akan sendiri melancarkan parti itu pada Ahad ini.

Menurut Timbalan Presiden KDM, Datuk Juil Nuatim, Hajiji, yang juga pengerusi gabungan pemerintah negeri Gabungan Rakyat Sabah (GRS), telah bersetuju untuk melancarkan parti itu di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah di sini.