KOTA KINABALU, SABAH – Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) melalui agensinya, Perbadanan Nasional Berhad (PERNAS) menyasarkan potensi pembiayaan usahawan francais berjumlah RM4 juta kepada usahawan di Negeri Sabah melalui penganjuran Karnival PERNAS 2024 bermula 21 hingga 22 September 2024.
Menterinya, Datuk Ewon Benedick, berkata secara keseluruhannya, tahun ini PERNAS menyediakan pembiayaan RM50 juta di seluruh negara untuk usahawan berkaitan francais.
“PERNAS telah membiaya 69 usahawan Sabah dengan nilai pembiayaan sebanyak RM12.7 juta dan pada tahun ini menyasarkan potensi pembiayaan RM4 juta.
“Industri francais di Sabah dilihat berkembang positif dan saya bangga kerana terdapat pelbagai jenama francais home grown Sabah seperti Mok, Fook Yuen, Nuvis, Sinar Suria, Happy Potato dan pelbagai lagi jenama yang dilihat berpotensi dikembangkan seperti jenama-jenama Alap-Alap, Cendol Ina, The Hot Puff, Skippee dan Keropok Lekor Masyhur.
“Perkembangan pelbagai jenama home grown di Sabah membuktikan jenama tempatan juga mampu bersaing dengan jenama-jenama francais antarabangsa yang lain.
“Perkembangan positif ini seharusnya menjadi pemangkin kepada bakal usahawan serta usahawan di Sabah untuk menceburkan diri dalam perniagaan francais,” katanya ketika berucap merasmikan Karnival PERNAS, di Sabah International Convention Centre (SICC), di sini, semalam.
Ewon berkata, jenama-jenama tempatan Sabah perlu diangkat dan dibawa ke persada global.
“Saya mahu melihat lebih ramai usahawan francais dapat dilahirkan di Sabah. Pada Julai lalu, saya menyertai misi perdagangan antarabangsa berkaitan francais ke Thailand dan saya amat kagum melihat jenama-jenama tempatan yang sudah menempa nama di luar negara seperti GlobalArt, Myeondong Topokki dan LaundryBar,” ujar beliau.
Sehubungan itu, Ewon menyeru usahawan-usahawan di Sabah supaya menggunakan peluang yang disediakan oleh KUSKOP dan PERNAS untuk membangunkan perniagaan melalui akses pasaran, bantuan dan bimbingan yang disediakan.
Mengenai karnival tersebut, Ewon berkata penganjurannya merupakan julung kali diadakan dan Sabah menjadi lokasi pilihan penganjuran program .
“Selaras dengan mandat PERNAS untuk meneraju industri francais di Malaysia, penganjuran karnival ini bertujuan memperkasa keusahawan francais dan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) setempat melalui perkhidmatan dan produk PERNAS dan agensi-agensi KUSKOP menggalakkan penyertaan orang ramai dalam bidang keusahawanan khususnya dalam bidang francais dan mempromosi produk serta perkhidmatan usahawan setempat.
“Saya dimaklumkan bahawa pelaksanaan karnival ini turut mendapat sokongan kerajaan negeri dalam menjayakan penganjuran serta mendapatkan penyertaan usahawan-usahawan melalui Kementerian Pembangunan Perindustrian & Keusahawanan Sabah (MIDE) selaku rakan strategik dan agensi-agensinya seperti Jabatan Pembangunan Perindustrian dan Penyelidikan Sabah (DIDR) dan Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sabah (SEDCO).
“Penganjuran Karnival PERNAS 2004 dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti dan program serta penglibatan dan kehadiran usahawan francais dari seluruh Malaysia serta usahawan-usahawan francais dan PKS negeri Sabah. Antara program yang diadakan berkaitan keusahawanan adalah Seminar Pamerkasaan Usahawan Bumiputera dan Sesi Libat Urus bersama Usahawan Negeri Sabah.
“Penganjuran bersama KUSKOP dan PERNAS untuk Seminar Pamerkasan Bumiputera adalah bertujuan mendapatkan maklumbalas usahawan – usahawan khususnya bumiputera bagi menambahbaik program-program bumiputera anjuran KUSKOP.
“Selaku kementerian yang bertanggungjawab dalam bidang keusahawanan kementerian sentiasa komited dalam usaha melahirkan lebih ramai usahawan bumiputera berjaya di peringkat tempatan dan antarabangsa.
“Pada hari ini juga sesi Libat Urus bersama usahawan Sabah turut diadakan sebagai platform secara top-down approach kepada saya selaku Menteri KUSKOP untuk mandapatkan maklumbalas dan perkongsian maklumat daripada usahawan setempat mengenai cabaran semasa maklumbalas dan penambahbaikan yang boleh dilaksanakan agar para usahawan di Sabah dapat menerima manfaat sebaiknya daripada pihak kementerian dan agensi,”katanya ketika berucap di Majlis Perasmian Karnival PERNAS 2024 bertempat di Sabah International Convention Centre (SICC), pada Sabtu.
Lebih daripada 100 usahawan dan pempamer perniagaan turut serta dalam karnival ini iaitu usahawan francais, pra francais, usahawan tempatan yang mempromosikan perkhidmatan, makanan, bahan segar, kraftangan, produk tradisional serta trak makanan.
Turut berlangsung Sesi Pertukaran Dokumen Memorandum Persefahaman (MoU) antara PERNAS dan Serai Group Sdn Bhd (Serai Group) yang bertujuan mengukuhkan kerjasama kedua-dua belah pihak dalam pembangunan perniagaan, pengembangan pasaran dan inisiatif sokongan keusahawanan.
Juga berlangsung pengenalan produk baharu PERNAS iaitu Program Inisiatif Keusahawanan Veteran dan Pembiayaan (1-VIP). Program ini menyasarkan golongan pesara dan veteran untuk menceburi perniagaan francais dengan bantuan pembiayaan daripada PERNAS dengan sasaran potensi pembiayaan berjumlah RM3 juta.
Selain itu, turut berlangsung sesi penyampaian sijil penyertaan kepada peserta Program Pemerkasaan Usahawan Sabah (PUSH), Sijil Penghargaan kepada MIDE bersempena dengan kerjasamaa yang dilaksanakan bersama PERNAS dan penyerahan cek replika pembiayaan kepada francaisi PERNAS bernilai RM1.12 juta serta penyerahan Sijil Penghargaan kepada Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) atas kerjasama penganjuran Bengkel Kesedaran Halal Usahawan MADANI Sabah.
Sehingga kini, PERNAS telah membiaya 69 usahawan di Sabah dengan jumlah pembiayaan sebanyak RM12.7 juta secara keseluruhannya, PERNAS menyasarkan potensi pembiayaan sebanyak 4 juta di Sabah dan RM50 juta di seluruh negara pada tahun ini.
Pelbagai aktiviti keusahawanan dilaksanakan iaitu Seminar Pemerkasaan Usahawan Bumiputera, Sesi Libat Urus Usahawan Sabah, Demostrasi Produk Usahawan, Pameran Keusahawanan dan Promosi Produk. Podcast Talk bersama usahawan dan agensi.
Hadir sama Ketua Setiausaha KUSKOP, Datuk Seri Khairul Dzaimee bin Daud, Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Perindustrian & Keusahawanan Sabah (MIDE), Thomas Logijin, ), Setiausaha Tetap, Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah (MAFFI), Leonard Stephen Poyong, dan Pengerusi PERNAS, Datuk Hazimah Zainuddin serta Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif PERNAS ,Tengku Mohamed Fadhli Tengku Hamzah. — JABATAN PENERANGAN SABAH