KOTA KINABALU: Presiden Pengguna Bijaksana Pantai Barat Sabah, David Chan berharap agar kerajaan segera mencari langkah menangani isu bekalan makanan.
Menurut beliau, isu bekalan makanan kini menjadi semakin serius apabila stok menjadi semakin terhad, manakala harga semakin melonjak kepada 60 peratus malah ada sehingga 100 peratus.
“Kerajaan sewajarnya mengambil langkah serius dalam mengawal harga makanan semasa yang semakin melonjak…
“Majoriti pengguna kini masih hidup di bawah paras kemiskinan dan kita belum mencapai masyarakat berpendapatan tinggi,” katanya.
Beliau berkata, selain dibebani harga makanan yang tinggi masyarakat hari ini juga terpaksa berhadapan dengan kos bahan binaan seperti kuprum, aluminium dan bar keluli.
Katanya, keadaan itu menyebabkan golongan B40 sukar untuk memiliki rumah sendiri, malah untuk menyewa pada masa akan datang juga pasti berdepan sewaan yang semakin mahal.
“Kami sentiasa menerima aduan daripada pengguna mengenai kenaikan harga makanan terutamanya mengenai makanan harian dan makanan pengawet.
“Kebanyakan golongan berpendapatan rendah banyak bergantung kepada makanan siap kerana masa tambahan bekerja yang panjang untuk menyara hidup mereka.
“Kami berharap agar mana-mana parti yang dipilih rakyat untuk menubuh kerajaan kelak akan mengambil perhatian serius dalam menangani masalah harga makanan yang tinggi untuk meringankan beban pengguna,” katanya.
Beliau turut berharap Pilihan Raya Umum Ke-15 akan berjalan lancar meskipun bakal berdepan musim tengkujuh bagi membolehkan rakyat membuang undi dan memilih kerajaan Pusat untuk memerintah.
end.