Persatuan Pesara Pendidikan Diminta Bantu Sekolah Daif

Persatuan Pesara Pendidikan Diminta Bantu Sekolah Daif

0
SHARE

KOTA KINABALU, SABAH – Timbalan Ketua Menteri, Datuk Dr. Joachim Gunsalam menerima kunjungan hormat daripada Persatuan Pesara Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Daerah Ranau, di Wisma Kewangan, kelmarin.

Kunjungan hormat ini diketuai oleh Pengerusi persatuan, Deen Erwan Gunda bersama dengan ahli jawatankuasa (AJK) persatuan.

Menurut Deen, tujuan kunjungan ini ialah untuk memaklumkan tentang program yang akan mereka laksanakan pada tahun ini.

Dalam pada itu, persatuan ini juga memerlukan sokongan dana daripada para pemimpin di daerah Ranau untuk menjalankan aktiviti mereka.

Sebagai sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang terdiri dari kalangan bekas pendidik, mereka bersedia untuk membantu sekolah-sekolah dalam arena pendidikan.

Sehubungan itu, Dr. Joachim mencadangkan kepada persatuan ini untuk memilih sekolah-sekolah dengan prestasi yang kurang memberangsangkan untuk dibantu dengan kerjasama Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Ranau dan juga Persatuan Ibubapa dan Guru (PIBG).

“Kalau bukan kita yang bantu siapa lagi? Kita perlu berganding bahu untuk membantu anak-anak sekolah yang berada dalam kategori seumpama ini,” kata beliau.

“Kamu bukannya berpolitik tetapi saya amat berbesar hati sekiranya ada persatuan yang bersuara seperti ini,” tambah Dr. Joachim yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kundasang.