KOTA KINABALU, SABAH – Sambutan Pesta Kaamatan tahun ini diadakan semula secara fizikal selepas dua tahun diadakan secara hybrid.
Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Dr. Jeffrey Kitingan berkata ia akan turut disambut secara fizikal di semua daerah dan beberapa Cawangan Kadazan Dusun Cultural Association (KDCA) di Semenanjung seperti Johor, Melaka, Klang Valley dan Putrajaya.
“Begitu juga, warga Sabah yang berada di luar negara seperti New Zealand, Australia (Perth) dan USA (New York) yang sedang merancang untuk mengadakan sambutan di sana.
“Pada 1 April lalu, negara beralih dari fasa pendemik kepada endemik yang memberi kelonggaran untuk mengadakan aktiviti sosial.
“Walaubagaimanapun, pihak penganjur di peringkat induk dan di peringkat daerah sentiasa memastikan agar prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dipatuhi bagi mengelak berlakunya jangkitan COVID-19,” katanya.
Katanya, Pelancaran Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah akan berlangsung pada 1 Mei 2022 (Ahad) bertempat di Pusat Kraftangan Sabah, Keningau dan akan dirasmikan oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor.
Beberapa aktiviti akan diadakan yang mana sebelum ini tidak dapat diadakan atau hanya diadakan secara hybrid dan dilaksanakan dalam bentuk pertandingan yang melibatkan penyertaan dan hadiah seperti pertandingan unduk ngadau, sugandoi, sukan rakyat, masakan tradisi dan paluan gong.
“Antara aktiviti lain yang diadakan ialah Hari Peladang Penternak dan Nelayan Negeri Sabah Tahun 2022, pameran dan jualan kraftangan, konsert Kaamatan, gerai jualan dan cabutan tiket bertuah yang berlangsung selama tiga hari bermula pada 29 April 2022.
“Manakala, kemuncak Sambutan Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah akan diadakan di Hongkod Koaisan, KDCA pada 30 dan 31 Mei 2022,” katanya…
Majlis perasmiannya dijangka akan disempurnakan oleh Tuan Yang Terutama Yang diPertua Negeri Sabah, Tun Datuk Seri Panglima Haji Juhar Datuk Haji Mahiruddin pada 31 Mei.
Jeffrey berkata tema sambutan pesta kaamatan pada tahun ini ialah “Kaamatan Menjiwai Alam Semulajadi, “Kaamatan Monunduan Do Winorun” dan “Kaamatan Ensouls Nature”.
“Selaku Pengerusi Induk Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah Tahun 2022, Saya mengharapkan sambutan pesta kaamatan pada tahun ini dapat diraikan dengan meriah di semua peringkat melalui keharmonian dan perpaduan antara kaum di Negeri Sabah,” tambahnya.