
KOTA KINABALU, SABAH – Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar (KePKAS) akan menganjurkan Pesta Pantai Tanjung Aru (TABF) selama dua hari di Taman Prince Phillip, hujung Oktober ini.
Menterinya, Datuk Christina Liew berkata, pesta dua hari yang bermula 28 Oktober tersebut merupakan acara bebas sampah dan terbuka kepada orang ramai bermula seawal 10.00 pagi sehingga 10.00 malam.
“Matlamat utama acara ini adalah untuk mengembalikan keindahan dan menjaga kebersihan Tanjung Aru selain mempromosikan pantai awam sebagai produk pelancongan dengan pemandangan indah matahari terbenam.
“Beberapa acara pertandingan diketengahkan iaitu sukan bola sepak pantai, limbo rock, tag ragbi, berkayak, papan kayuh berdiri, pertandingan mewarna dan membina istana pasir bagi kanak-kanak.
“Di samping itu, pengunjung boleh melawat pelbagai gerai, menikmati sesi zumba, bertemu dan bersalaman dengan pemain Kelab Bola Sepak Sabah, ceramah berinformasi, pertandingan fotografi serta cabutan tiket bertuah,” katanya kepada pemberita semasa sidang media, pada Jumaat.
Beliau mengalu-alukan orang ramai berkunjung ke Pantai Tanjung Aru dan memaklumkan perkhidmatan bas disediakan dari Pusat Beli Belah Imago ke pusat riadah tersebut secara berjadual bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas.
“Pengunjung juga disediakan basikal dan sebarang maklumat tambahan atau kemas kini bolehlah diperolehi di laman web rasmi www.hellosabah.com,” ujarnya.
Turut hadir, Timbalan Pengarah Eksekutif Tanjung Aru Eco Development Sdn Bhd (TAED), Datuk Ir. Abdul Aziz Julkarnain, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pelancongan Sabah, Noredah Othman dan Timbalan Setiausaha Tetap KePKAS, Mary Malangking. — JABATAN PENERANGAN SABAH





