Petani Limau Bali Tenom Disaran Praktikan Amalan Standard Operasi Terbaik

Petani Limau Bali Tenom Disaran Praktikan Amalan Standard Operasi Terbaik

0
SHARE
Arthur
Arthur sekitar Kursus Amalan Pemasaran Baik, Standard Dan Kualiti Buah Limau Bali ( Sumber Foto: Ihsan KPKM )

TENOM, SABAH – Para petani limau bali Tenom disaran mempraktikan amalan standard operasi atau piawaian yang terbaik bagi mengukuhkan kedudukan Sabah sebagai salah satu pengeluar utama industri limau bali negara.

Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Arthur Joseph Kurup berkata demikian ketika merasmikan Kursus Amalan Pemasaran Baik, Standard Dan Kualiti Buah Limau Bali anjuran FAMA Sabah dengan kerjasama Jabatan Pertanian Sabah; Bahagian Kawalan Racun & Perosak Baja, Jabatan Pertanian Malaysia serta MARDI Sabah.

“Sabah merupakan salah satu daripada pengeluar limau bali utama di Malaysia selain dari negeri Perak. Pada tahun 2023, industri limau bali (pamelo) di Sabah mencatatkan hasil sebanyak 268,000  kilogram bersamaan dengan RM966,000.” katanya.

Ulasnya lagi sehingga 7 Mei ini, Sabah telah merekodkan pengeluaran limau bali sebanyak 134,000 kilogram bernilai RM527,000 dan ini secara tidak langsung mencerminkan potensi dalam pertanian limau bali untuk diterokai oleh para petani Sabah.

Dalam pada itu, Arthur berpendapat untuk mengukuhkan kedudukan Sabah dalam pengeluaran serta pengeksportan buah limau bali, satu standard atau piawaian dalam kalangan petani dan pengeluar limau bali tempatan harus diwujudkan selaras dengan konsep PINTAR yang menjadi hala tuju KPKM pada tahun 2024.

Beliau turut menegaskan melalui pengajaran amalan terbaik dalam pemasaran, matlamat penurunan kadar kerosakan lepas tuai dari 30 sehingga 50 peratus kepada kurang daripada 30 peratus sepanjang rantaian bekalan akan dapat dicapai.

Seterusnya, ia membantu mengurangkan kerugian hasil pertanian dan menjadikan industri pertanian lebih berkesan dan efisien.

Di majlis tersebut Arthur turut menyaksikan sesi menandatangi perjanjian ‘Forward Agreement’ antara FAMA Sabah dengan seramai 22 peserta penanam buah limau bali Tenom.

Melalui perjanjian ini, FAMA Sabah mensasarkan pembekalan buah limau bali sebanyak 10 metrik tan/seminggu dan sejumlah 480 metrik tan/setahun dengan harga kenaikan harga awal sebanyak RM3.80/kg berbanding harga semasa RM3.60/kg.

Turut hadir, Ahli Parlimen Tenom, Riduan Rubin; Pengarah FAMA Sabah dan Sarman Sidno.