KOTA KINABALU: Petisyen keputusan Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN-17) yang difailkan oleh bekas calon Parti Warisan bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pitas gagal di Mahkamah, sekali gus mengesahkan Datuk Ruddy Awah kekal sebagai ADUN kawasan itu, dengan pampasan RM15,000 yang bakal diterima akan disumbangkan kepada anak-anak yatim.
Ruddy (GRS) berkata, keputusan mahkamah tersebut adalah muktamad dan perlu diterima semua pihak, selain menyifatkannya sebagai ketentuan Tuhan.
“Petisyen Datuk Harun Haji Ismail daripada Parti Warisan telah pun dibatalkan. Syukur kepada Tuhan dan terima kasih kepada peguam bela saya. Pada saya, keputusan ini adalah ketentuan Tuhan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media pada Sambutan Hari Raya Aidilfitri peringkat negeri di Sabah International Convention Centre (SICC), di sini, hari ini.
Menurutnya, bayaran pampasan sebanyak RM15,000 yang akan diterima selepas tempoh matang ditetapkan mahkamah akan disalurkan sepenuhnya kepada golongan anak yatim.
“Kalau kita memperoleh wang tersebut, ini semua akan kita beri kepada anak-anak yatim kerana mereka memerlukan sumbangan daripada kami sebagai wakil rakyat,” jelasnya.
Dalam pada itu, beliau menyeru pengundi di DUN Pitas agar menerima keputusan tersebut sebagai pengajaran bersama dan tidak lagi memanjangkan isu berkenaan.
“Ambillah keputusan ini sebagai satu pengajaran kita bersama dan jangan buat cerita-cerita lagi. Keputusan ini adalah muktamad. Kita menang, jadi kita kena bekerja,” katanya.
Ruddy yang juga Pembantu Menteri Kerja Raya dan Utiliti Sabah turut menegaskan komitmennya untuk terus berkhidmat kepada rakyat sepanjang tempoh berbaki penggal dengan memberi tumpuan kepada pembangunan infrastruktur di negeri ini.
“Kita kerja lima tahun, masih panjang. Kita kena turun padang dan bekerja sebaik mungkin untuk membantu rakyat, khususnya dari segi infrastruktur yang sangat mendesak,” katanya lagi.






