KOTA KINABALU: Seorang lelaki bukan warganegara berusia 36 tahun ditahan kerana disyaki mengemukakan dokumen palsu bagi permohonan MyPR pada Jumaat.
Tangkapan dilakukan kira-kira jam 10.30 pagi oleh pegawai penguat kuasa Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Sabah di Bahagian Kad Pengenalan JPN Kota Kinabalu, ketika suspek hadir membuat permohonan menggunakan permit masuk yang disyaki palsu.
Kes tersebut kemudiannya diserahkan kepada Jabatan Imigresen Malaysia Cawangan Kota Kinabalu untuk tindakan lanjut kerana melibatkan penggunaan permit masuk.
JPN Sabah menegaskan komitmen berterusan dalam memastikan setiap urusan permohonan dokumen pengenalan diri mematuhi peruntukan undang-undang serta tidak akan berkompromi terhadap sebarang cubaan pemalsuan dokumen rasmi.






