KOTA KINABALU: Parti Harapan Rakyat Sabah (PHRS) bersedia memperluas pengaruh ke seluruh negeri termasuk kawasan majoriti Cina bagi mengukuhkan kedudukan menjelang pilihan raya akan datang.
Presidennya, Tan Sri Liew Yun Fah berkata, rangkaian akar umbi parti kini diperkukuh semula dengan jumlah bahagian meningkat daripada empat kepada 12, selain mendapat sokongan berterusan di seluruh Sabah.
Katanya, PHRS kini giat mengembangkan sayap ke beberapa kawasan termasuk Tawau, Sandakan dan Kota Kinabalu, susulan sambutan menggalakkan daripada rakyat.
Mengenai kemungkinan bertanding lebih banyak kerusi termasuk kawasan majoriti Cina, beliau berkata parti bersedia jika diberi peluang, namun keputusan bergantung kepada perbincangan dalam gabungan.
“Kita sedia ke depan jika diberi mandat, tetapi demi kebaikan dan kesatuan, kita juga sanggup beralah,” katanya, merujuk tindakan PHRS memberi laluan di Merotai dalam pilihan raya negeri baru-baru Ini.
Mengulas sokongan masyarakat Cina terhadap kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Liew menolak dakwaan kononnya sokongan semakin merosot.
Sebaliknya, beliau berkata majoriti masyarakat Cina masih menyokong kerajaan dan hanya segelintir pihak yang cuba memecah-belahkan.
“Tumpuan utama mereka adalah pembangunan. Jika kerajaan terus menunjukkan komitmen dan hasil, sokongan akan kekal,” katanya.
Mengenai tuntutan 40 peratus hasil negeri, Liew menegaskan kepentingan kesatuan antara pemimpin dan rakyat bagi memastikan tuntutan itu berjaya.
“Pemimpin perlu berunding, tetapi tanpa sokongan padu rakyat, ia tidak mencukupi. Kita perlu satu suara,” katanya.
Beliau turut menggesa semua pihak, termasuk di luar kerajaan, supaya mengetepikan perbezaan dan duduk semeja bagi mencari penyelesaian.
“Jika mahu seperti Sarawak, kita mesti bersatu. Tanpa kesatuan, sukar untuk capai apa-apa,” katanya.






