KUALA LUMPUR – Pengerusi Barisan Nasional (BN) Dato Seri Dr Zahid Hamidi menafikan pernah bersetuju dengan Gabungan Parti Sarawak (GPS) untuk menubuhkan kerajaan bersama Perikatan Nasional (PN).
Zahid Hamidi yang juga Presiden UMNO memberi amaran kepada kesemua ahli Parlimen UMNO/BN yang menang pada PRU-15 semalam agar menurut arahan beliau selaku Presiden parti itu.
Beliau dalam satu kenyataan malam ini menegaskan bahawa tiada sebarang perundingan dengan PN setakat ini yang boleh membawa kepersefahaman antara dua pihak tersebut.
“Dalam pada itu kesemua ahli Parlimen BN yang memenangi PRU15 telah menandatangani akujanji dan memberi mandat kepada saya selaku Presiden untuk menentukan apa-apa gabungan politik dalam penubuhan Kerajaan…
“Sehubungan ini, mana-mana Ahli Parlimen yang melanggar arahan parti akan mengakibatkan pelepasan keahlian parti termasuk kerusi Parlimen, selaras dengan undang-undang larangan Ahli Dewan Rakyat bertukar parti seperti yang termaktub di bawah Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan,” katanya.
Menurut sumber dalaman UMNO Zahid Hamidi sedang giat berunding dengan Anwar Ibrahim untuk menubuhkan kerajaan Malaysia yang baharu.
Terdahulu, Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Abdul Rahman Zohari Tun Abang Haji Openg mengumumkan gabungan antara parti PN, BN, GPS dan Gamabungan Rakyat Sabah untuk mempunyai majoriti mudah bagi membentuk kerajaan yang kukuh dan stabil.