KOTA KINABALU, SABAH – Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Haji Noor menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) berjumlah RM235 juta antara Kumpulan Sawit Kinabalu dan dua pelabur domestik di sini, hari ini.
Mereka adalah Borneo Lestari Sdn Bhd, yang dimiliki oleh dua peniaga Sabahan dan Admuda Sugar Sdn Bhd yang berpangkalan di Selangor.
Kedua-dua projek tersebut merupakan inisiatif pelaburan di bawah rancangan Halatuju Sabah Maju Jaya (SMJ) lima tahun.
Hajiji, yang juga Ketua Kumpulan Sawit Kinabalu mengatakan Halatuju SMJ, yang dilancarkan bulan lalu, telah mula membuahkan hasil dan mengambil kesempatan mengucapkan tahniah kepada semua pihak atas kerjasama dengan keyakinan bahawa Sawit Kinabalu akan dapat mempertahankan kedudukannya sebagai GLC negeri yang progresif.
Sawit Kinabalu Group akan bekerjasama dengan Admuda Sugar untuk mendirikan kilang gula di Kimanis, Papar dan projek akuakultur pembiakan Barramundi (Ikan Siakap) dengan Borneo Lestari di Langkon, Kota Marudu.

Pelaburan Admuda Sugar dianggarkan bernilai RM150 juta yang akan dibangunkan di tanah seluas 79 ekar milik Sawit Kinabalu Group di Kimanis.
Kilang gula buat pertamakali di Sabah akan menghasilkan gula dengan jenama Gula Kinabalu. Ia dijangka mula beroperasi setahun dari sekarang.
Borneo Lestari dijangka akan melaburkan sejumlah RM85 juta dalam projek akuakultur empat fasa di tanah seluas 35 ekar milik Sawit Kinabalu Group di Langkon.
Dengan menggunakan Sistem Akuakultur Kitar Semula, projek akuakultur mampu menghasilkan minimum 1.000 hingga maksimum 1.250 tan ikan barramundi setiap tahun.
Kedua-dua projek ini diharapkan dapat mewujudkan 1,000 peluang pekerjaan langsung dan 1,000 pekerjaan tidak langsung.
Hajiji mengatakan di bawah rangka pembangunan SMJ, Kerajaan Negeri mempermudah dan menjadikan Sabah lebih menarik bagi pelabur domestik dan asing.
Menandatangani MoU tersebut adalah Pengarah Urusan Sawit Kinabalu Group Bacho Jansie, sementara Admuda Sugar diwakili oleh Pengarahnya, Dato’ Sri Raja Sulaiman Raja Shariff dan Borneo Lestari oleh Pengarahnya, Irwin Wong.
Bersempena bulan Ramadan, Hajijj menyerahkan sumbangan berjumlah RM10,000 dari Sawit Kinabalu masing-masing kepada Madrasah Tahfiz Darul Ullum Azzkia’ Kampung Papagang Pengalat Besar Papar dan Rumah Anak Yatim dan Miskin Home Tuaran.

Dia juga berbuka puasa bersama ahli lembaga Sawit Kinabalu Group.





