PKPB Di Sabah Mungkin Akan Dilanjutkan Lagi – Masidi

PKPB Di Sabah Mungkin Akan Dilanjutkan Lagi – Masidi

0
SHARE
Datuk Masidi Manjun...

KOTA KINABALU, SABAH – Datuk Masidi Manjun memberi bayangan bahawa perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Sabah yang dijadualkan tamat pada 6 Disember ini mungkin akan disambung lagi.

Beliau yang juga jurucakap COVID-19 di Sabah berkata negeri ini masih dalam zon bahaya kerana kekal berada dalam lingkungan tiga (3) angka kes harian COVID-19 walaupun Sabah sudah mula mencatat penurunan kes baharu positif virus itu.

“Kita masih dalam lingkungan yang bahaya. Tiga angka kes harian positif COVID-19 ketika ini tidak membuatkan kita merasa selesa, lebih-lebih lagi masih ada turun naik kes…

“Malah, angka ini sepatutnya mengingatkan kita supaya terus mengikuti prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan,” katanya pada sidang media harian perkembangan COVID-19 Sabah, di sini, malam tadi.

Beliau yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri berkata demikian ketika diminta mengulas sama ada PKPB di Sabah yang dijadualkan tamat pada 6 Disember ini akan ditamatkan atau sebaliknya.

Masidi berkata, berdasarkan statistik Jabatan Kesihatan Negeri Sabah, kes positif COVID-19 di Sabah masih menunjukkan turun naik iaitu daripada 441 kes pada 27 November lalu kepada 476 kes (28 November), 290 kes (29 November), 326 kes (30 November), 267 kes semalam dan 229 kes hari ini.

Katanya, kerajaan meneliti pelbagai aspek termasuk ekonomi dan situasi semasa kes jangkitan Covid-19 di Sabah dalam beberapa hari menjelang tamatnya tempoh PKPB.

“Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menerusi Jabatan Kesihatan Negeri Sabah akan membuat penilaian dan analisa mengenai situasi semasa Covid-19 di negeri ini dan memberikan nasihat berhubung perkara itu kepada kerajaan negeri…

“Keputusan sama ada untuk melanjutkan atau menamatkan PKPB mahupun melaksanakan sebarang bentuk langkah kawalan lain akan mengambil kira kepentingan semua sektor tertakluk kepada nasihat KKM dan Majlis Keselamatan Negara (MKN),” katanya.

Masidi bagaimanapun berkata, jika PKPB diteruskan, kerajaan boleh melonggarkan beberapa syarat atau SOP mengikut situasi semasa.