KOTA KINABALU: Naib Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) merangkap Ketua Cabang PKR Kalabakan, Roslan Sapar, memohon agar pemilihan Majlis Angkatan Tertinggi Cabang (MATC) PKR 2025 ditangguhkan bagi memberi tumpuan kepada persediaan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang dijangka berlangsung pada bila-bila masa.
Menurut Roslan, terdapat beberapa sebab utama mengapa penangguhan ini perlu dipertimbangkan.
Katanya, penangguhan pemilihan akan membolehkan Ketua-Ketua Cabang, Ranting, Ketua Wanita, Angkatan Muda Keadilan (AMK), serta pimpinan negeri memberi tumpuan sepenuhnya kepada pemantapan jentera parti menjelang PRN.
“Proses pemilihan dalam parti sering menimbulkan persaingan yang boleh menyebabkan perpecahan dalam kalangan ahli. Ini akan memberi kesan negatif kepada persiapan menghadapi PRN Sabah.
“Keputusan ini juga dilihat sebagai satu langkah memperkukuhkan autonomi Sabah dalam PKR, sekaligus menepis dakwaan pihak lawan bahawa PKR hanya sebuah parti Malaya.
“Usul penangguhan pemilihan ini telah dikemukakan dalam MATC yang lalu oleh 25 cabang PKR Sabah, melibatkan 100 peratus Ketua Cabang yang menyokong agar pemilihan hanya diadakan selepas PRN selesai,” katanya dalam sebuah kenyataan hari ini.
Roslan menegaskan bahawa permohonan ini dibuat demi kepentingan parti dan bukan untuk menentang keputusan pimpinan pusat.
“Kami sepakat bahawa pemilihan boleh diadakan selepas PRN Sabah bagi memastikan fokus sepenuhnya diberikan kepada kemenangan parti,” katanya.
Beliau turut menambah bahawa dengan menangguhkan pemilihan, setiap cabang akan dapat menumpukan tenaga kepada persediaan jentera pilihan raya di kawasan masing-masing.