KOTA KINABALU: PKR Sabah mensasarkan untuk mempertahankan tidak kurang tujuh kerusi pada pilihan raya negeri akan datang, tegas Pengerusi negeri Datuk Mustapha Sakmud.
Beliau mengingatkan jentera bahawa misi utama adalah mempertahankan kerusi-kerusi penting, sambil menegaskan kekuatan parti terletak pada kesatuan, bukan sekadar calon individu.
“Kali ini kita sebahagian daripada kerajaan, maka kita mesti jadi harapan rakyat Sabah,” katanya.
Mustapha berkata demikian ketika melancarkan Pusat Gerakan PKR Bahagian Api-Api di Taman Fortuna, Luyang, pada Ahad.
Majlis itu dirasmikan oleh Timbalan Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar.
Beliau turut menekankan kerjasama erat dengan rakan DAP di kawasan bandar seperti Api-Api dan Inanam, yang dianggap kritikal untuk mengekalkan kekuatan parti di Kota Kinabalu.
“Ini bukan soal siapa calon. Yang kita pertahankan ialah maruah parti dan gabungan,” katanya lagi.
Mengulas rasa kecewa segelintir ahli yang tidak dipilih bertanding, Mustapha mengingatkan mereka melihat kepentingan lebih besar.
“Kerusi itu masih milik kita. Kalau hilang, ia terus jadi tanda tanya,” ujarnya.
Beliau berkata semangat PKR Sabah sebelum ini pernah memenangi enam kerusi pada PRU 2013 di bawah pimpinan Allahyarham Datuk Lajim Ukin.






