TUARAN: Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Cabang Tuaran menafikan dakwaan bahawa mereka terlibat dalam perbuatan khianat terhadap billboard calon Parti Warisan di N.13 Pantai Dalit.
Dalam kenyataan media pada 24 November 2025, cabang itu berkata mereka dimaklumkan tentang gambar billboard yang diconteng dengan tulisan “PKR Kirim Salam”.
Ketua Cabang KEADILAN Tuaran, Razeef Rakimin menegaskan bahawa pihaknya tidak terlibat dengan sebarang unsur khianat dan mengingatkan bahawa KEADILAN sendiri tidak meletakkan calon di kawasan berkenaan.
Razeef secara sinis menjelaskan bahawa jika benar mereka ingin mengirim salam, mereka hanya perlu menghantar ucapan menggunakan Whatsapp ataupun mungkin bertandang terus ke rumah calon Warisan.
“Mana tahu akan dihidangkan kopi o kaw dan kuih penjaram,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau turut menyeru semua pihak dalam musim mengundi ini supaya mengangkat semangat demokrasi dan bersaing secara matang.
“Elakkan provokasi yang boleh mengganggu-gugat keharmonian kita di Sabah,” tegasnya.
Beliau juga berjanji memberikan kerjasama penuh terhadap sebarang siasatan sama ada dari pihak Warisan atau pihak berkuasa bagi mencari pihak yang bertanggungjawab.






