KOTA KINABALU: Timbalan Setiausaha Agung Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Armizan Mohd Ali menegaskan bahawa Manifesto GRS bagi Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri (PRU DUN) Sabah 2025 dibangunkan dengan penuh tanggungjawab, realistik dan berpaksikan kemampuan sebenar Kerajaan Negeri.
Beliau berkata, manifesto yang digarap melalui 1 Gagasan, 4 Rukun dan 16 Strategi itu bukan sekadar senarai janji baharu, tetapi kesinambungan kepada asas kukuh yang telah dibina di bawah Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 1.0 sepanjang tempoh 2021 hingga 2025.
Menurut Armizan, pendekatan GRS jelas berbeza daripada tawaran parti-parti lain yang sering menjanjikan “bulan dan bintang” tanpa mengambil kira kemampuan kewangan dan kapasiti kerajaan untuk melaksanakannya.
Sebaliknya, GRS memilih untuk mengemukakan dasar dan program yang benar-benar boleh dilihat, dirasai dan diukur pencapaiannya dalam tempoh lima tahun pentadbiran.
“Manifesto bukan gula-gula pilihan raya. Ia adalah aku janji serta tekad pertanggungjawaban kepada rakyat. Jika kita terus mengulangi budaya janji yang indah didengar tetapi mustahil dilaksanakan, rakyat Sabah akan terus dihampakan dan keyakinan mereka terhadap institusi kerajaan serta sistem demokrasi akan semakin terhakis,” tegas beliau dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.
Armizan menambah bahawa komitmen GRS dipacu oleh kesedaran bahawa setiap tawaran mesti bersandar kepada realiti—bukan ilusi politik.
Justeru, manifesto kali ini dibina berdasarkan pencapaian yang telah digarap, keupayaan kewangan semasa, serta strategi jelas untuk memperkukuh pembangunan rakyat dan negeri.
Manifesto GRS PRU DUN Sabah 2025 bertemakan “Memacu Sabah Maju, Rakyat Berkemajuan”, mencerminkan iltizam gabungan itu untuk membawa Sabah terus maju ke hadapan melalui dasar yang konsisten, berfakta dan boleh dilaksanakan.
Dengan pendekatan yang pragmatik serta berpaksikan rekod pencapaian, GRS yakin visi Sabah yang stabil, maju dan inklusif dapat direalisasikan bersama mandat rakyat pada pilihan raya kali ini.






