LAHAD DATU: Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Rosly Sawal membuat laporan polis berhubung satu hantaran media sosial yang didakwa memfitnah calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Mizma Appehdullah.
Laporan tersebut dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah pada pukul 11.55 pagi hari ini.
Rosly berkata laporan itu dibuat selepas seorang individu dikenali sebagai Alsipal Ladjasal didakwa mengaitkan isu permohonan tanah dalam satu hantaran dalam talian.
Beliau berkata tuduhan itu adalah tidak benar dan dilihat bertujuan melemahkan sokongan terhadap GRS di Silam menjelang hari pengundian.
“Hantaran tersebut tidak benar, mengelirukan, berbaur fitnah, mengaibkan dan lebih kepada menjatuhkan krebiliti calon GRS N62 Silam YBhg Datuk Mizma, bertanding di DUN 62 Silam pada PR17 ini.
“Dalam tempoh semakin dekat hari mengundi pada 29/11/2025, berita-berita dan tohmahan jahat telah mula dimainkan oleh pihak-pihak tertentu bertujuan melemahkan sokongan orang ramai terhadap parti GRS khususnya di DUN 62 Silam.
“Laporan Polis telah pun di buat, agar pihak polis dapat menjalankan siasatan dengan telus dan adil agar tindakan yang sewajarnya diambil ke atas individu tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam reaksi ringkas, Mizma berkata pihaknya juga sedang mendapatkan nasihat pihak peguam parti untuk tindakan selanjutnya.
“InshaAllah saya bersama peguam saya, membuat laporan polis berkenan beberapa individu-individu meyebarkan fitnah di media sosial termasuk di Facebook dan WhatsApp yang telah menyebarkan fitnah terhadap saya. Kita jumpa di mahkamah,” katanya.






