SIPITANG, SABAH – Seorang pengedar dadah yang diberi gelaran ‘doktor’ oleh pelanggan di daerah Sipitang kini dirawat dengan gari polis.
Lelaki berumur 50 tahun yang juga dikenali sebagai ‘Ajak’ itu ditahan semasa serbuan pada sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Pasir kira-kira jam 11.30 pagi, Khamis lalu.
Ketua Polis Daerah Sipitang, DSP Champin Piuh berkata dua lagi lelaki dipercayai ahli sindiket berumur di kalangan 30an turut diberkas.
“Suspek dipercayai dalang utama sindiket pengedaran dadah di sekitar daerah ini…
“Dua paket plastik lut sinar pelbagai saiz ditemui dalam kotak di atas sebuah meja rumah terbabit.
“Risikan dan maklumat membawa kepada penahanan seorang lagi lelaki dipercayai ahli dalam sindiket,” katanya.
Suspek telah mengedar dalam bentuk set atau ‘bal’ dengan berat antara 5.0 gram hingga 500 gram berharga RM20 sehingga RM5,000.
Rampasan berkenaan kata Champin bernilai RM 10,000 manakala ini merupakan kes pertama dalam rekod jenayah saspek.
“Hasil ujian saringan air kencing ke atas ketiga-tiga suspek didapati positif syabu…
“Soal siasat sedang dijalankan bagi mengesan beberapa lagi individu yang terbabit dalam sindiket dadah ini,” tambah beliau.
Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang membawa hukuman mati jika disabitkan kesalahan.