Orang Awam Berpeluang Menangi Tiket Percutian Ke Angkasa Lepas

Orang Awam Berpeluang Menangi Tiket Percutian Ke Angkasa Lepas

0
SHARE
Richard Branson...

NEW MEXICO – Berita baik dan peluang yang diluar jangkaan buat orang awam di seluruh dunia untuk memenangi tiket percutian ke angkasa lepas tajaan Syarikat Virgin Galactic.

Memetik laporan portal berita USA Today, Pengasas syarikat itu iaitu Richard Branson mengumumkan akan berikan DUA (2) tiket kepada individu bertuah untuk merasai pengalaman ke angkasa lepas.

Menurutnya, seorang pemenang akan dipilih melalui satu penyertaan umum yang bakal dibuat dan seorang lagi adalah pilihan tetamu yang mana keduanya adalah bakal orang awam pertama mengembara ke angkasa lepas.

Penyertaan itu akan menyokong pertubuhan bukan kerajaan Space for Humanity yang menyasarkan untuk menghantar orang awam daripada pelbagai bangsa dan latar belakang ekonomi ke angkasa lepas.

“Branson dan Space for Humanity akan mendahului dengan memberi akses kepada angkasa lepas, menjadikan ia sesuatu yang bukan hanya boleh dialami individu berprofil tinggi dan angkasawan tetapi kepada semua golongan,” kata Ketua pegawai Eksekutif Omaze, Matt Pohlson.

Mereka yang berminat boleh menghantar penyertaan online ke omaze.com/space dan jumlah dana minimum yang dicadangkan ialah AS$10 (RM41), namun mereka yang tidak menderma juga boleh menghantar penyertaan.

Richard Branson menjalin kerjasama dengan badan kebajikan Omaze bagi memberi peluang kepada orang awam untuk merasai pengalaman ke angkasa lepas…

Penyertaan adalah terbuka kepada semua individu berusia 18 tahun dan ke atas dari seluruh dunia. Tarikh tutup penyertaan adalah pada 1 September dan pemenangnya akan diumumkan pada 29 September 2021.

Terdahulu, pengumuman yang menggembirakan itu dibuat sebaik sahaja Branson kembali ke Bumi pagi semalam (waktu tempatan).

“Misi angkasa lepas yang saya tulis adalah untuk menjadikan mimpi pengembaraan ke angkasa lepas satu realiti kepada cucu saya, cucu anda dan kepada semua orang…

“Kami baru saja merasai pengalaman sangat menakjubkan dan Virgin Galactic dengan satu kerjasama mahu ‘membuka’ angkasa kepada semua orang,” katanya.

Walau bagaimanapun, Syarikat Virgin Galactic belum memberikan maklumat lanjut tentang penerbangan yang seterusnya.