KUCHING, SARAWAK – Polis menahan dua (2) lelaki yang mengaku sebagai penghantar bekalan dadah kepada pelanggan di tepi jalan berhampiran sebuah kilang di Jalan Tapak Perindustrian Genesis Sungai Moyan, semalam.
Kedua-dua ‘keldai dadah’ terbabit gagal meloloskan diri setelah diserbu sepasukan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Dadah Padawan sekitar jam 3.15 petang di lokasi kejadian.
Ketua Polis Daerah Padawan Supt Aidil Bolhassan yang dipetik laporan portal berita Suara Sarawak berkata, ketika ditahan salah seorang suspek mengaku hanya menjadi penghantar barang kepada bekalan dadah yang ditinggalkan oleh pengedar dikenali sebagai ‘Peng’ ke lokasi tertentu untuk dihantar kepada pelanggan.
“Kedua-dua suspek yang ditahan masing-masing berusia 18 dan 23 tahun…
“Setelah disiasat salah seorang daripadanya mengaku mengambil barang yang dibuang oleh Peng di kawasan terbabit manakala suspek kedua sekadar menemaninya ke lokasi berkenaan.
“Hasil rampasan terdiri daripada satu plastik berwarna hitam dan satu plastik lutsinar berisi ketulan kristal dianggarkan seberat 52.70 gram,” jelasnya menerusi satu kenyataan hari ini.