Priscella Ikut Jejak Ayah, Sah Bertanding di Melalap

Priscella Ikut Jejak Ayah, Sah Bertanding di Melalap

0
SHARE

KOTA KINABALU: Pemangku Presiden Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM), Priscella Peter mengesahkan akan bertanding di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Melalap pada Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) akan datang.

Ini bermakna, Priscella akan cuba mempertahankan kerusi yang disandang ayahnya, Datuk Peter Anthony, sejak 2018.

Katanya, keputusan itu dibuat kerana mahu meneruskan legasi ayahnya dalam membangunkan kawasan dan membantu rakyat Melalap.

“Ia bukan tugas mudah, tetapi semangat daddy sentiasa bersama saya, sentiasa bersama rakyat Melalap. Rakyat di Melalap tahu keprihatinan Datuk Peter dan sehingga kini apabila saya turun ke kawasan, mereka masih bercakap mengenai kebaikan dia, begitu kuat aura dia dan ini membuktikan daddy telah melaksanakan tugasnya dengan baik di Melalap.

“Saya akan teruskan perjuangan membantu rakyat di Melalap. Masih banyak pembangunan yang boleh dilakukan, dan saya lakukan ini bukan hanya mengenai daddy, tetapi demi rakyat Melalap yang masih mengharapkan pembangunan berterusan,” katanya.

Peter mula memenangi kerusi DUN Melalap pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) pada 2018 atas tiket Warisan dengan majoriti tipis 293 undi, menewaskan lima calon lain.

Pada PRN16 lalu, beliau sekali lagi mempertahankan kerusi sama juga atas tiket Warisan, kali ini dengan majoriti lebih besar 1,719 undi dalam pertandingan enam penjuru.

Namun, pada awal 2022, Peter membuat keputusan meninggalkan Warisan untuk menubuhkan Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) yang kini diterajui anaknya sebagai Pemangku Presiden.