SABAH HARGAI SOKONGAN BERTERUSAN PERSATUAN DAN DEWAN TIONGHUA: KM HAJIJI

SABAH HARGAI SOKONGAN BERTERUSAN PERSATUAN DAN DEWAN TIONGHUA: KM HAJIJI

0
SHARE
Hajiji
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor...

KOTA KINABALU, SABAH – Kerajaan negeri amat menghargai sokongan berterusan daripada semua persatuan dan dewan perniagaan masyarakat Tionghua di negeri ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, dengan sokongan padu yang berterusan daripada semua pihak termasuk dewan dewan perniagaan, kerajaan negeri kini berada di landasan yang betul dalam membawa pembangunan di bawah Pelan Pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).

“Kesediaan masyarakat Tionghua termasuk Gabungan Dewan Perniagaan Tionghua Sabah (SUCCC) yang terus berdiri bersama sama kerajaan bagi membantu dalam setiap sektor pembangunan di negeri ini amat kita hargai”, katanya pada Majlis Angkat Sumpah Jawatankuasa SUCCC bagi tempoh 2024-2027 di Dewan Hakka Sabah pada Isnin.

Teks ucapan beliau disampaikan oleh Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Negeri, Datuk Phoong Jin Zhe.

Katanya, Sabah telah menjadi tumpuan sebilangan pelabur dengan membawa nilai pelaburan mencecah RM12 bilion sejak dua tahun lalu.

Rekod pendapatan Sabah sebanyak RM7 bilion pada tahun lalu menjadikan Sabah antara enam negeri penyumbang terbesar kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia Tahun 2023.

Malah katanya, banyak peluang pekerjaan dapat ditawarkan kepada belia Sabah hasil kemasukan pelabur domestik dan asing, sehingga Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP) dan Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sipitang (SOGIP) penuh.

Beliau berkata, kerajaan negeri kini sudah mengenalpasti taman perindustrian baharu bagi memenuhi keperluan sektor perindustrian di negeri ini, iaitu di Kudat.

“Pembukaan lebih banyak taman perindustrian sudah pasti nilai pelaburan dijangka terus meningkat pada tahun mendatang kerana banyak lagi pelabur tempatan dan asing menunjukkan minat untuk melabur di Sabah.

Justeru, saya mahu masyarakat Tionghua di negeri ini terus bersama-sama kerajaan memajukan negeri ini, kerana ramai dikalangan mereka terbukti pandai dan pintar dalam urusan perniagaan,” katanya.

Hajiji berkata, kerajaan juga akan terus mempertingkatkan peluang pelaburan yang boleh memanfaatkan pelbagai sektor pembangunan di Sabah.

“Di sinilah peranan daripada masyarakat Tionghua untuk turut sama mengambil peluang dalam sektor pembangunan di negeri ini,” tegasnya.