Rumah Warga Tua Telupid RM2.5 Juta Bakal Siap Pada 2025 – James

Rumah Warga Tua Telupid RM2.5 Juta Bakal Siap Pada 2025 – James

0
SHARE
James
James (kanan) melawat lokasi kebakaran di Kg.Pinangah, diiringi TSUT Walter dan Jais, Pengarah JPKA ( Sumber Foto: Ihsan KPMKR )

TELUPID, SABAH – Golongan warga emas yang memerlukan penjagaan dan perlindungan di sini bakal mendapat sebuah pusat khas bagi tujuan tersebut yang bakal siap pada penghujung tahun hadapan.

Menteri Pembangunan Masyarakan dan Kesejahteraan Rakyat (KPMKR), Datuk James Ratib berkata, kos bagi projek tersebut berjumlah RM2.5 juta dan dijangka siap pada Disember 2025.

“Meneruskan lawatan kerja ke daerah Telupid, saya telah melawat tapak projek pembinaan Rumah Warga Tua Kendiri Telupid.

“Projek ini adalah di bawah Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am (JPKA) yang dalam pembinaan berhampiran Pejabat JPKA Daerah Telupid,” katanya.

Menurut James, projek tersebut bertujuan untuk membina bangunan asrama dan bangunan pentadbiran yang akan menempatkan warga emas yang memerlukan penjagaan dan perlindungan.

“Golongan sasaran adalah warga emas yang masih sihat, tetapi keseorangan, tiada tempat tinggal, dan masih mampu berusaha.

“Asrama ini akan menyediakan persekitaran yang selesa dan selamat, memastikan kesejahteraan fizikal dan mental mereka terjaga.

“Selain itu, bangunan pentadbiran akan berfungsi sebagai pusat pengurusan yang mengatur segala keperluan dan aktiviti penghuni,” katanya.

Tambah beliau lagi, projek ini diharapkan dapat memberi peluang kepada warga emas untuk menjalani kehidupan yang lebih bermakna, dengan sokongan komuniti dan kemudahan yang disediakan.

“Dalam masa yang sama, pusat tersebut juga diharap memberi peluang kepada golongan berkenaan untuk menyumbang dan berusaha dalam pelbagai aktiviti yang disediakan,” jelas beliau.

Turut hadir dalam lawatan tersebut ialah Timbalan Setiausaha Tetap KPMKR, Walter Kenson dan Pengarah Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am JPKA Jais Asri.