Project Naik Taraf Jalan Tarawas-Karagasan Harus Dipercepatkan – Jonathan

Project Naik Taraf Jalan Tarawas-Karagasan Harus Dipercepatkan – Jonathan

0
SHARE

RANAU, SABAH – Timbalan Menteri Dalam Negeri II, Datuk Jonathan Yasin berkata, penduduk kawasan Mukim Malinsau di sini, disaran supaya bersabar dengan usaha Kerajaan untuk menaik taraf jalan raya melibatkan pengguna di kawasan tersebut.

Katanya, Kerajaan amat komited dan prihatin dengan keperluan rakyat terutama di kawasan pedalaman yang amat memerlukan infrastruktur asas seperti kemudahan jalan raya yang sempurna, bekalan eletrik dan air bersih, dan sebagainya.

“Namun rakyat harus bersabar kerana pelaksanaan projek yang diperlukan itu perlu melalui beberapa proses seperti pelantikan konsultan yang membuat cadangan jajaran jalan pada peringkat awal, yang telah dibuat tahun lalu, dan kemudiannya proses ‘value management’ dan ‘value engineering’ yang melibatkan banyak kementerian dan jabatan, yang mana ini telahpun disiapkan, dan kemudiannya pelawaan tender yang mana telahpun ditutup pada 19 Ogos , 2022 yang lalu,” jelasnya.

Jonathan memaklumkan, usaha menaik taraf Jalan Tarawas-Karagasan sebenarnya sudah dirancang untuk pelaksanaan pada tahun 2020 yang lalu namun projek ini telah dikenakan waran sekatan berikutan pandemik Covid-19 kerana negara memerlukan lebih banyak dana untuk menghadapi pandemik wabak Covid-19 dalam dua tahun lalu.

“Kita mengharapkan projek itu dapat dilaksanakan dengan sesegera yang boleh memandangkan pelawaan tender untuk projek Jalan Tarawas-Karagasan ini sudahpun ditutup pada 19 Ogos yang baru lalu dan pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah sedang dalam proses membuat penilaian tender yang dibuat.

“Kita berharap JKR Sabah dapat menyegerakan penilaian tender tersebut dan seterusnya pihak Lembaga Tender dapat membuat keputusan berkaitan pihak kontraktor mana yang akan terpilih untuk melaksanakan projek ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Ranau berkata demikian ketika berucap merasmikan tapak Tamu Mingguan Mukim Malinsau, di sini, pada Sabtu.

Menyentuh tamu mingguan itu, Jonathan memuji penduduk Mukim Malinsau kerana ada inisiatif untuk menghidupkan semula Tamu Mukim Malinsau itu setelah sekian lama dihentikan.

Beliau berharap tamu tersebut dapat terus berkembang bukan sahaja sebagai tempat mempamer dan menjual produk hasil pertanian dan kraftangan tempatan bagi meningkatkan sosio ekonomi penduduk, malah ianya boleh menjadi tempat untuk membeli bahan-bahan keperluan lain apabila tamu tersebut turut dihadiri para penjual barangan lain seperti keperluan dapur, pakaian dan sebagainya.

“Saya mencadangkan supaya pembinaan pondok di kawasan tapak tamu yang ada ini, mendapat penentuan dan kepastian daripada JKR bagi memastikan jajaran jalan raya yang bakal dilaksanakan kelak supaya sebarang pembinaan di kawasan tamu tidak terjejas.

“Bagus dapatkan dahulu jajaran jalan daripada JKR supaya apapun bangunan pondok tamu tidak terganggu dengan usaha menaik taraf jalan itu kelak…

“Cari kawasan yang dikenalpasti lebih sesuai dan tidak terganggu dengan pembinaan jalan bagi mengelakkan pembaziran apabila pondok-pondok yang didirikan terpaksa diroboh untuk dipindahkan,” kata Jonathan.

Menurutnya, untuk membina pondok atau kemudahan lain seperti tandas awam, pentas budaya atau tempat menderma darah dan menyimen tapak tamu hendaklah diambil kira sebagai kemudahan awam.

“Mungkin kita boleh bantu bukan setakat RM20,000 seperti yang dikemukakan pihak Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) malah kita boleh bantu sehingga RM150,000 kelak kalau ada tapak yang dikenalpasti lebih sesuai dan bukan terletak berhampiran dengan jalan raya yang dikenalpasti dalam jajaran pembinaan jalan raya,” ujar beliau

Turut hadir ialah Pengerusi JPKK Kg. Tanid Mukim Malinsau, Ganting Laipan, Pengerusi JPKK Kg. Mokodou, Taming Adjngan, Pengerusi JPKK Kg. Sumbilingon, Gorowok Laisan, Pengerusi JPKK Kg. Nasakot-Malinsau Darat, Makukin Awai, Pengerusi JPKK Kg. Linapasan, Rudi Barani dan Pengerusi JPKK Kg. Kiwakau, Musiman Mawad.