KOTA KINABALU, SABAH – Barisan Nasional (BN) Sabah telah memutuskan kerusi Parlimen Beluran dan Kalabakan akan diwakili oleh calon parti berkenaan.
Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin dalam satu kenyataan berkata, Benedick Asmat dinamakan sebagai calon bagi Parlimen Beluran (P.183), manakala Andi Muhammad Suryady Bandy dinamakan sebagai calon bagi Parlimen Kalabakan (P.191) menggantikan Aslam Fadli Samsul Alang yang telah dicalonkan sebelum ini.
“Benedict Asmat adalah anak jati Parlimen Beluran dan berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Sastera dalam Antropologi dan Sosiologi (Kepujian) daripada Universiti Malaya (UM)…

“Beliau merupakan mantan Presiden Majlis Perbandaran Sandakan dan pernah berkhidmat sebagai Penolong Pegawai Daerah Beluran selama 20 tahun sebelum dilantik menjawat beberapa jawatan penting kerajaan seperti Pegawai Daerah Semporna, Timbalan Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri Sabah dan Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Kerja Raya Sabah.
“Selain itu, turut berpengalaman luas dalam sektor perkhidmatan awam dan beliau juga bergiat aktif dalam beberapa pertubuhan bukan kerajaan dan kini merupakan Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Sabah (Safa),” jelasnya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada malam tadi.

Berkenaan calon Parlimen Kalabakan, Bung Moktar berkata bahawa Andi Muhammad merupakan Pembantu Menteri Belia dan Sukan dalam kabinet Sabah pada Oktober 2020 selain daripada menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) bagi kawasan N.71 Tanjung Batu.
“Berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Awam daripada Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan pernah bertugas sebagai jurutera di beberapa syarikat kejuruteraan terkemuka negara sebelum berkecimpung dalam dunia perniagaan selain pernah dilantik sebagai Bendahari Persatuan Pengimport dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia Sabah…
“BN Sabah memutuskan untuk menamakan calon baharu Parlimen Kalabakan (p.191) disebabkan masalah teknikal,” katanya.
Tambah Bung, BN yakin kedua-dua calon baharu yang dinamakan dengan berlatarkan pendidikan tinggi, berkelayakan profesional serta bersedia berkhidmat mampu menggalas amanah mewakili kepentingan rakyat apabila dipilih kelak.
Sehubungan itu, keputusan yang telah diputuskan oleh Barisan Nasional (BN) Sabah ini telah merungkai segala persoalan status Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Dr Ronald Kiandee yang juga penyandang kerusi Parlimen itu selepas nama beliau dan kerusi yang disandangnya tidak diumum pada majlis pengumuman senarai calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS)-BN yang diadakan Rabu lalu.






