Rafizi Ramli Naib Presiden PKR, hari ini memohon maaf kerana tersilap mengenal pasti seorang wanita yang didakwanya terlibat dalam perlantikan firma pelobi untuk kerajaan Malaysia.
Rafizi berkata, dia mengambil tanggungjawab atas kekeliruan mengenai seorang wanita dinamakan sebagai Florence Goh pada kenyataan dibuat olehnya sebelum ini.
“Saya mengesahkan bahawa (Florence) Goh Siew Boy dari CRT Insights Technologies Sdn Bhd bukanlah Florence Goh yang menjadi pengarah Godfrey Group Ltd yang terlibat di dalam kontrak melobi itu.
“Saya mengambil tanggungjawab penuh atas kesilapan ini dan memohon maaf kepada Goh Siew Boy dan CRT Insights Technologies Sdn Bhd kerana telah menyiarkan nama mereka.
“Saya ada meminta supaya mereka tampil memberikan penjelasan, maka saya hargai penerangan itu bahawa mereka tidak terbabit dan saya tidak teragak-agak memohon maaf kerana mereka tidak terlibat di dalam kes ini,” Rafizi dipetik dalam satu kenyataan oleh Portal Malaysia Kini hari ini.
Rafizi sebelum ini dalam satu kenyataan mengaitkan Florence dengan PMO dan berkata perjanjian lantikan kontraktor melobi ditandatangani oleh seorang yang bernama Florence Goh mewakili Godfrey Group Limited.
Dokumen-dokumen secara jelas menunjukkan bahawa kerja-kerja melobi melibatkan pegawai-pegawai Kerajaan Malaysia. Malah Dato’ Seri Najib sendiri dinamakan sebagai pegawai kerajaan yang akan berurusan dengan firma melobi ini.
Rafizi turut berkata telah menyemak latar belakang Florence Goh adalah pengarah Godfrey Group Limited dan mendapati alamat yang berdaftar adalah 42, Jalan Molek 2/3 membawa kepada sebuah syarikat yang benar-benar wujud iaitu CRT Insights Technologies Sdn Bhd yang disenaraikan sebagai sebuah pembekal khidmat latihan yang berdaftar dengan Dana Pembangunan Sumber Manusia (HRDF) Kementerian Sumber Manusia.
Godfrey Group merupakan syarikat yang didakwa membayar seorang pelobi pentadbiran Donald Trump sebanyak AS$250,000 (RM1.07 juta), seperti terkandung dalam borang difailkan dengan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ).
Walau bagaimanapun Florence Goh dalam satu sidang media pagi tadi sebelum ini berkata tuduhan Rafizi jelas telah mengancam keluarga dan perniagaannya. Florence Goh memperkenalkan dirinya sebagai pemilik CRT Insights Technologies Sdn Bhd.
Walau bagaimanapun Florence dalam satu sidang media berkata “Saya bukan individu itu dan saya tidak ada kena mengena dengan mana-mana parti politik. Saya hanya seorang ahli perniagaan, Saya berharap pihak berkuasa akan membantu saya kerana saya tidak bersalah.”
Florence Goh turut berkata pejabatnya terletak di 42 Jalan Molek 2/1, dan bukannya 42 Jalan Molek 2/3 seperti yang didakwa oleh Rafizi Ramli sebelum ini.
Laporan SSM juga menunjukkan bahawa sebuah syarikat berbeza sebaliknya beroperasi di 42 Jalan Molek 2/3, yang tidak mempunyai seorang pengarah bernama Florence Goh.
Florence Goh hari ini menuntut permohonan maaf daripada Rafizi yang juga Ahli Parlimen Pandan kerana secara jelas telah membuat fitnah tersebut.