Rakyat Sabah Tolak Tawaran Terakhir BN, Pilih Parti Tempatan

Rakyat Sabah Tolak Tawaran Terakhir BN, Pilih Parti Tempatan

0
SHARE

KOTA KINABALU: Penawaran saat akhir Barisan Nasional (BN) tidak mengubah haluan pengundi Sabah, yang jelas memilih parti-parti tempatan dalam PRN Sabah ke-17.

Sentimen di lapangan menggambarkan rasa muak terhadap rekod panjang BN, terutama isu jalan rosak yang bertahun tidak dibaiki. 

Ramai menganggap keputusan semalam sebagai isyarat bahawa ‘sumbangan’ BN di Sabah sudah sampai hadnya.

BN, yang hanya menang enam daripada 44 kerusi, gagal menyaingi gelombang parti tempatan.

Beberapa nama besar tersungkur termasuk bekas Ketua Menteri Salleh Said Keruak di Usukan, Timbalan Menteri Luar Mohamad Alamin di Bongawan, serta Yakub Khan di Karambunai. 

Ketua BN Sabah, Bung Moktar mempertahankan kerusinya hanya dengan majoriti tipis 153 undi.

Di pejabat BN Sabah, wartawan menunggu sehingga 11.30 malam sebelum dimaklumkan tiada sidang media.

Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi hanya mengeluarkan kenyataan ringkas bahawa BN bersedia bekerjasama dengan parti sehaluan bagi membentuk kerajaan, sambil menggesa rakyat bertenang.

Beliau berada di dalam dewan tingkat dua bangunan tersebut ketika waktu pengiraan undi.

Pakatan Harapan turut mengalami kekalahan besar, cuma menang satu daripada 22 kerusi melalui calon tumpangan bekas GRS, Jamawi Jaafar di Melalap.

PKR terus bergelut menembusi Sabah, manakala DAP hilang semua lapan kerusi yang dimenangi pada 2020. Amanah juga sifar.

Prestasi hambar ‘parti malaya’ ini dijangka mengundang tekanan dalaman menjelang PRU 2027.

Keputusan PRN-17 membayangkan perubahan selera politik Sabah. Pengundi memilih parti tempatan meskipun cuba “dimandikan” blok nasional.