Komuniti Madani Disaran Perkasakan Penyaluran Maklumat

Komuniti Madani Disaran Perkasakan Penyaluran Maklumat

0
SHARE
Supian
Supian (dua dari kanan) menyerahkan watikah pelantikan kepada salah seorang Pengerusi Komuniti MADANI ( Sumber Foto: Ihsan Jabatan Penerangan Sabah )

PENAMPANG, SABAH – Komuniti MADANI disaran agar terus memperkasakan usaha penyaluran maklumat kerajaan kepada rakyat dengan kerjasama peringkat akar umbi.

Timbalan Pengarah Penerangan Sabah, Supian Musa berkata penubuhan Komuniti MADANI bertujuan untuk menjadi mata dan telinga kerajaan untuk memupuk nilai murni dan kenegaraan dalam kalangan rakyat, selain membantu menyalurkan maklumat serta inisiatif kerajaan yang sahih dan pantas ke peringkat akar umbi secara berterusan.

“Kita mengharapkan semua ahli komuniti terutamanya dari segi penyampaian maklumat iaitu dari segi dasar-dasar kerajaan kerana sebagai rakan strategik kita untuk menyampaikan maklumat dan membantu JAPEN untuk menyampaikan kandungan atau dasar-dasar kerajaan dan sampai ke seluruh pelusuk kampung atau mana-mana orang yang berada di luar kawasan.

“Itulah yang kita harapkan kerana sekarang ini lebih banyak maklumat palsu daripada maklumat yang tepat dan kita mahu komuniti ini menjadikan maklumat itu tepat sampai ke semua orang kampung di setiap penjuru,” katanya ketika ditemui media di Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan Komuniti MADANI di sini, semalam.

Pada majlis itu, Supian menyerahkan watikah berkenaan kepada enam Pengerusi masing-masing tiga wakil dari kawasan N.25 Kepayan dan N.26 Moyog.

Untuk rekod, sebanyak 1,878 Komuniti MADANI di seluruh Malaysia termasuk 219 di Sabah. — JABATAN PENERANGAN SABAH