SIK, KEDAH – Seorang warga emas tidak hanya mengetahui perkembangan terkini daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), tetapi mengisi masa lapang hariannya dengan merekodkan kes harian COVID-19 dalam sebuah buku nota.
Perkara itu didedahkan sendiri oleh anaknya sendiri iaitu Muhammad Syafizuddin Abu Seman, 23, yang menyatakan bahawa ayahnya yang kini berusia 62 tahun akan merekodkan semula setiap perangkaan di dalam buku berkenaan (buku nota).
Menurut Syafizuddin yang dipetik Mstar Online, dia menyedari kewujudan buku itu sewaktu menziarahi neneknya berusia 89 tahun yang sakit di rumah keluarganya di Sik, Kedah.
“Pada mulanya saya menyangka buku latihan tersebut masih digunakan oleh adik-adik yang masih bersekolah…
“Tapi bukan, ia adalah buku latihan yang dah lama tidak digunakan. Bila tengok dari jauh, hanya nampak banyak nombor yang dituliskan dalam jalur-jalur kotak.
“Terkejut juga sebab ingatkan ‘nombor ekor’, tapi tak mungkin. Bila tengok dekat rupa-rupanya ayah salin semula setiap data kes harian COVID-19,” katanya.

Jelas Syafizuddin, ayahnya yang merupakan pesara polis berbuat demikian bagi mengisi masa lapang sejak Mei lalu.
“Setiap hari ayah akan semak di aplikasi MySejahtera yang memaparkan data terbaru kes harian Covid-19, dan ayah akan salin semula dalam buku latihan tu…
“Daripada jumlah kes baru, ayah akan tulis secara terperinci mengikut pecahan negeri. Ayah juga rekod kes kematian akibat COVID-19, semuanya adalah tulisan tangan,” ujarnya.

Tambah Syafizuddin berkata, kerajinan ayahnya menyalin semula data kes harian Covid-19 itu bukan sekadar untuk mengisi masa lapang, tetapi mengingatkannya mengenai pandemik yang melanda negara sejak tahun lalu masih di tahap serius.
“Ayah kata kes harian COVID-19 beribu-ribu amat membimbangkan, dan setiap hari banyak kematian dilaporkan. Ayah sedih dengan situasi yang berlaku sekarang,” jelasnya.
Dia yang juga merupakan penghantar makanan memberitahu, ayahnya juga sering mengingatkan keluarganya terutama anak-anak supaya menjaga diri sepanjang masa.
Jelas Syafizuddin, ayahnya yang menghabiskan banyak masa di rumah sentiasa memantau aplikasi MySejahtera dan setiap pengumuman yang dibuat kerajaan berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Ayah selalu berpesan dengan famili, pergi mana-mana jaga diri. Patuh segala SOP (prosedur operasi standard) yang ditetapkan sepanjang PKP,” katanya lagi.





