BANDAU: Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Panglima Hajiji Noor menegaskan bahawa calon GRS Bandau, Datuk Redonah Bahanda merupakan sosok pemimpin wanita yang membawa kepimpinan berani, berprinsip dan dekat dengan realiti kehidupan rakyat Bandau.
Beliau berkata demikian selepas menyaksikan sendiri sokongan padu masyarakat terhadap calon GRS itu dalam siri kempen yang diadakan baru-baru ini.
Menurut Hajiji, Redonah yang juga Ketua Wanita Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS), menampilkan karakter kepimpinan yang tegas dan berwibawa, dengan keupayaan memahami keperluan keluarga, wanita, golongan muda serta masyarakat luar bandar.
“Beliau bukan sahaja berani, tetapi juga berpegang pada prinsip. Rakyat tahu beliau seorang pemimpin yang bekerja, bukan sekadar berkata,” katanya.
Hajiji turut menekankan bahawa Redonah membawa visi pembangunan yang menyeluruh untuk Bandau, merangkumi agenda kebajikan rakyat, pemerkasaan wanita dan peluasan peluang ekonomi bagi semua lapisan masyarakat.
Katanya, komitmen tersebut menjadikan Redonah pilihan terbaik untuk memacu Bandau ke arah pembangunan lebih maju dan sejahtera.
Dengan kekuatan jentera GRS serta gelombang sokongan masyarakat yang semakin meningkat, Hajiji yakin Redonah mampu memberikan kepimpinan baharu dan membawa perubahan positif untuk kawasan Bandau.
“Saya percaya masa depan Bandau akan lebih cerah di bawah kepimpinan beliau,” katanya.






