KOTA KINABALU, SABAH – Agak pelik baru-baru ini berkenaan siapa individu atau pihak yang membenarkan puluhan penyokong Datuk Seri Shafie Apdal menggunakan ruangan VIP di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA).
Menurut Gabungan NGO Bebas Suara (BEBAS), satu video yang ditularkan kelmarin (8 Okt) secara jelas menunjukkan Sabah ketika ini seolah-olah masih lagi ditadbir oleh Parti Warisan Sabah.
VIDEO Shafie diiringi oleh pemimpin dan puluhan penyokong Parti Warisan Sabah di bilik VIP Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA)…
“Video puluhan orang penyokong dan pemimpin Parti Warisan mengiringi ketibaan Shafie Apdal yang baru sahaja tiba dari Ibu Negara (kelmarin) dengan menggunakan laluan VIP di lapangan terbang KKIA secara jelas menunjukkan seolah-olah Shafie Apdal masih lagi Ketua Menteri Sabah.
“Sepengetahuan kami, sebelum ini siapa sahaja individu yang ingin menyambut tetamu VIP di dalam kawasan lapangan terbang khususnya di bilik VIP, permohonan untuk memohon pas keselamatan perlu dibuat terlebih dahulu.
“Persoalannya adakah kesemua pemimpin dan penyokong Parti Warisan telah memohon kebenaran dan memiliki pas keselamatan untuk masuk ke kawasan larangan tersebut?…
“Sekarang Sabah masih lagi dalam proses memerangi wabak COVID-19, yang peliknya penyokong dan pemimpin Warisan tidak mengamalkan penjarakkan sosial (social distancing) dan adakah kesemua pemimpin serta penyokong Warisan telah mematuhi syarat SOP yang ditetapkan sebelum masuk ke dalam bilik VIP tersebut?.
“Agak menghairankan walaupun Sabah ketika ini telah ditadbir oleh Kerajaan GRS, tetapi layanan berat sebelah seolah-olah wujud, di mana ada di antara penyokong UMNO dan Perikatan Nasional (PN) dilarang untuk masuk ke kawasan tertentu terutamanya bilik VIP di lapangan terbang bagi menyambut Menteri atau Timbalan Menteri yang datang ke Sabah atas tujuan rasmi.
“Sebaliknya keistimewaan diberikan kepada pemimpin dan penyokong Parti Warisan Sabah,” demikian kenyataan menurut BEBAS.
“BEBAS mempunyai bukti yang kukuh semasa PH dan Parti Warisan masih lagi menjadi parti pemerintah, bekas Ketua Menteri Sabah Tan Sri Musa Aman turut dilarang menggunakan bilik VIP semasa tiba atau pergi ke Ibu Negara melalui KKIA…
“Malahan, ada pegawai Imigresen yang telah bertindak biadap terhadap Tan Sri Musa semasa membuat pemeriksaan terhadap bekas Ketua Menteri Sabah itu.
“Ini amat berbeza dengan Shafie Apdal, bukan sahaja dibenarkan menggunakan bilik VIP malahan penyokong beliau turut diberikan keistimewaan untuk menggunakannya.
“BEBAS terpaksa membangkitkan perkara ini kerana amat marah dengan layanan istimewa yang diberikan ke atas Shafie dan penyokong beliau…
“Dalam pada itu, kami juga ingin memgambil kesempatan mengucapkan syabas kepada kerajaan GRS termasuk Malaysia Airport Berhad (MAB) dan bahagian protokol Sabah kerana melayan Shafie dengan cukup baik,” BEBAS berkata lagi dengan nada marah.