UMNO Kimanis Terdesak, Gagal Tanggungjawab Projek Strategik – Pemuda GRS

UMNO Kimanis Terdesak, Gagal Tanggungjawab Projek Strategik – Pemuda GRS

0
SHARE
Ketua Pemuda PGRS Bongawan, AK Jamaluddin Pg Mohd Yassin...

BONGAWAN: Pemuda Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menyifatkan tindakan Umno Kimanis yang cuba menyalahkan calon GRS, Tan Sri Anifah Aman dalam isu projek strategik sebagai langkah terdesak untuk menutup kegagalan Ahli Parlimen Kimanis, Datuk Mohamad Alamin menunaikan janji pilihan raya.

Ketua Pemuda GRS, AK Jamaludin Pg Yassin berkata, tuduhan terhadap Anifah tidak berasas kerana projek Mini Stadium Kimanis dan Kolej Komuniti Kimanis telah pun diluluskan ketika Anifah menjadi Ahli Parlimen Kimanis.

Sebaliknya, Mohamad sepatutnya meneruskan kesinambungan projek tersebut selepas diberikan mandat melalui Pilihan Raya Kecil (PRK) Kimanis.

“Malah Mohamad sendiri berjanji dalam manifesto BN bahawa beliau akan menyiapkan kedua-dua projek itu. Namun hingga kini masih gagal direalisasikan, walaupun beliau cuba mengambil kredit selepas itu,” katanya.

Menurut Jamaludin, kegagalan memastikan kesinambungan pembangunan jelas berlaku sejak 2019, meskipun Mohamad menjadi sebahagian daripada kerajaan Persekutuan selepas 2020, bahkan dilantik sebagai Timbalan Menteri.

“Kalau projek Kolej Komuniti dibatalkan semasa PH, mengapa tidak dihidupkan semula selepas Mohamad berada dalam kerajaan? Mengapa tidak diperjuangkan sehingga diluluskan semula? Rakyat tunggu, tetapi keputusan tiada,” ujarnya.

Beliau menyifatkan hampir lapan tahun tanpa hasil konkrit dalam projek strategik sebagai bukti ketiadaan rekod kerja yang boleh dipertahankan oleh Mohamad Alamin.

Katanya, walaupun terdapat beberapa projek kecil dilaksanakan, limpahannya tidak merata dan tidak memberi manfaat besar kepada seluruh masyarakat Kimanis dan Bongawan.

“Takkan itu saja kemampuan Mohamad sebagai Ahli Parlimen hampir dua penggal dan bekas Timbalan Menteri. Projek kecil ada, tetapi projek strategik dijanjikan sejak 2018 masih belum kelihatan,” katanya.

AK Jamaludin turut menegaskan bahawa banyak pembangunan di DUN Membakut sebenarnya dibawa penyandang kawasan itu, Datuk Ariffin Arif, bukannya Mohamad seperti didakwa.

Mengulas isu bangunan kedai lama terbakar di Bongawan, beliau berkata Mohamad gagal menyelesaikan perkara asas iaitu pembersihan sisa kebakaran yang mencacatkan pemandangan pekan, walaupun bangunan tersebut hak milik persendirian.

“Kita hanya minta sisa kebakaran dibersihkan. Takkan hal sekecil itu pun tidak mampu buat?” tegasnya.

Menurutnya lagi, kelemahan menangani isu kecil menggambarkan kegagalan lebih besar dalam memimpin pembangunan penting kawasan Kimanis dan Bongawan. Beliau mengingatkan bahawa Mohamad sendiri pernah bergantung pada bantuan Anifah semasa PRK Kimanis 2019 untuk menewaskan calon Warisan ketika itu.

“Penyokong akar umbi BN masih ingat jasa Anifah yang bekerja keras membantu Mohamad menang pada PRK tersebut,” katanya.

Jamaludin menegaskan politik hari ini memerlukan kejujuran dan rekod kerja yang nyata, bukannya retorik.

Katanya, rakyat tahu siapa yang konsisten bekerja, siapa yang hanya muncul ketika hampir pilihan raya, dan siapa yang benar-benar membawa pembangunan besar kepada Bongawan.

“Akhirnya, rakyat Bongawan yang akan menentukan siapa yang layak membawa pembaharuan sebenar, bukan sekadar projek naik taraf yang wakil pembangkang pun boleh buat,” katanya.